Anda di sini

Pustaka Negeri giat berusaha digitalkan bahan bacaan jarang

Advertisement

KUCHING: Pustaka Negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan kini giat menjalankan perincian bagi memasukkan buku atau apa sahaja bahan bacaan yang jarang ditemui ke dalam sistem atas talian.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri, Tan Sri Datuk Amar Dr Hamid Bugo berkata, setiap bahan bacaan seperti buku atau majalah yang jarang serta sukar didapati akan ditukar ke dalam bentuk digital agar ia sentiasa terpelihara.

“Kini, banyak bahan bacaan dari seluruh dunia terutama yang mengandungi unsur sejarah sukar ditemui dan mempunyai unit yang terhad.

“Justeru, pihak kami mengambil langkah produktif untuk mendigitalkan setiap bahan tersebut untuk menjadi salinan simpanan yang mudah untuk dilayari di atas talian dan juga dikenali sebagai ‘e-Books’,” katanya.

Selain itu, menurutnya, meskipun proses pendigitalan itu memakan belanja yang tinggi, Pustaka Negeri akan terus menjalankan perincian tersebut sebagai usaha untuk memelihara bahan bacaan yang bersejarah.

Tambahnya, masyarakat Kuching telah menggunakan sistem ‘e-Books’ semenjak 2000 lagi sekali gus memberi jaminan untuk meluaskan jaringan bacaan terus ke kawasan pedalaman.

“Sejajar dengan usaha kami untuk mendigitalkan setiap buku atau bahan bacaan yang kami miliki di Pustaka Negeri, kami juga kini sedang giat menaik taraf perpustakaan di seluruh kawasan termasuk di pedalaman.

“Kerja menaik taraf perpustakaan tersebut merangkumi penyediaan bahan bacaan seperti buku dan majalah, kemudahan asas lain yang diperlukan sebuah perpustakaan serta perkhidmatan komputer yang dibekalkan jaringan Internet,” katanya.

Kerja-kerja menaik taraf tersebut melibatkan lebih dari 100 perpustakaan di bawah seliaan Pustaka Negeri, kerajaan negeri serta persekutuan di seluruh Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Rakan Kongsi Mobiliti Antarabangsa Amerika Syarikat (MIUSA) bersama Duta Amerika Joseph Y. Yun dan Naib Presiden Persatuan Dyslexia Sarawak Bahagian Kuching Richard Sia, di Pustaka Negeri, semalam.

Sehubungan itu, Hamid berkata, setiap perincian yang dilakukan oleh Pustaka Negeri disifatkan sebagai keperluan masyarakat tidak kira di bandar, malah juga di pedalaman.

“Keperluan ini sangat penting terutama bagi pelajar sekolah di pedalaman yang berhasrat untuk mendapatkan maklumat melalui jaringan Internet.

“Jadi, kami berharap agar dapat melaksanakan penambahbaikan ini secepat mungkin untuk memudahkan masyarakat setempat,” tambahnya.

Advertisement