Anda di sini

Pusat tumpuan pelancong disyor tingkatkan tahap keselamatan: Lee

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pusat-pusat tumpuan pelancong, yang menjadi destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, disyor meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak tindakan vandalisme atau sabotaj.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata antara langkah yang wajar diambil ialah mengambil lebih ramai pengawal keselamatan dan memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Ia agak membimbangkan kini berikutan wujud insiden sabotaj di muzium lilin The Red Carpet, i-City, Shah Alam minggu lepas.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia ini pihak pengusaha harus mengambil inisiatif untuk elak sebarang perbuatan khianat atau sabotaj,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau mengulas kebakaran di muzium lilin The Red Carpet, i-City, dipercayai akibat perbuatan khianat pada 29 Jan lepas.

Muzium Red Carpet yang melibatkan kos RM25 juta itu ialah muzium lilin interaktif pertama di Malaysia dan yang pertama seumpamanya di rantau ini kerana barangan pameran itu mempunyai kelebihan suara dan pergerakan.

Muzium itu mempamerkan 100 tubuh lilin orang ternama yang terdiri daripada personaliti sejarah dan kontemporari hari ini.

i-City adalah satu daripada destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Lee juga berharap agar pihak berkuasa dapat menyelesaikan segera kes yang berlaku di muzium berkenaan agar ia menjadi pengajaran kepada pihak tertentu.

“Kita tidak mahu insiden seperti ini berulang di tempat lain di saat negara mempromosikan Tahun Melawat Malaysia sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Maklumat I-Berhad, pengurusan i-City, Tan Soke Cheng dalam satu kenyataan semalam berkata kebakaran di muzium itu tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke tempat itu.

“Semasa hari pertama dan beberapa hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, kedatangan pelancong dianggarkan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa,” katanya.

Tan mengaitkan jumlah kehadiran yang lebih tinggi ke muzium itu disebabkan pengunjung telah merancang untuk melawat tempat tarikan itu selain pengurangan yuran RM5 berbanding RM35 sebelum kebakaran itu di samping beberapa tarikan lain di I-City. — Bernama

Advertisement