Anda di sini

Kursus SLDN di IKS dapat sambutan menggalakkan

Advertisement

KUCHING: Sesi pengambilan perantis baharu dalam kursus-kursus di bawah Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) di Institut Kemahiran Seni (IKS) bertempat di Kampung Budaya Sarawak mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Pengurus IKS Narawi Rashidi dalam kenyataan akhbarnya semalam, seramai 100 orang dari seluruh negeri telah mendaftar untuk sesi tahun ini yang bermula 3 Februari lepas.

“Sambutan adalah amat menggalakkan dan seperti yang dijangka, ramai dari kawasan luar bandar Kuching mengambil bahagian,” katanya mengenai kumpulan perantis baharu.

Kumpulan perantis baharu melibatkan 30 orang yang mengambil bidang Tari Tradisional Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, 10 dalam bidang Muzik Kontemporari SKM Tahap 2, 20 dalam bidang Muzik Kontemporari SKM Tahap 3, 20 dalam bidang Penyediaan Pembuatan Makanan (bermula 1 Mac 2014) dan 20 orang dalam bidang Inap Desa (bermula 1 Mac 2014).

“Kita telah dimaklumkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bahawa kuota SLDN pada tahun ini telah dikurangkan memandangkan peruntukan yang amat terhad.

“Namun, kita berharap ada kuota lebih yang akan diberikan untuk peningkatan tahap dalam bidang tarian,” kata Narawi.

Tambahnya, setakat ini mereka yang telah lulus SKM Tahap 2 bidang tarian pada tahun lalu masih belum mendapat peruntukan kuota.

Bagi sesi tahun ini, pihak pengurusan IKS lebih bersedia dan mempunyai perancangan yang teratur untuk para perantis yang bakal berada di Kampung Budaya Sarawak sehingga bulan Julai.

Bagi mereka yang dalam bidang muzik Tahap 3, tahun ini akan memperlihatkan mereka terlibat dalam banyak program pementasan sama ada di Kampung Budaya Sarawak mahupun di luar.

“Seperti tahun lepas, terdapat juga segelintir perantis yang belum ada pengalaman dalam bidang tari dan muzik, namun kami akan memastikan mereka akan boleh diketengahkan dalam masa 2-3 bulan.

“Pada tahun lepas, kita berjaya melahirkan beberapa penari dan pemain akordian, sape dan beberapa alat lain yang sememangnya belum pernah dipelajari oleh mereka,” kata Narawi.

Menurut beliau, para perantis dijangka akan mengadakan Konsert GEMA pada bulan Oktober ini di Tebingan Kuching dan mereka mungkin akan dijemput untuk membuat persembahan pada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2014) seperti yang telah diadakan pada temasya tahun lalu.

Advertisement