Anda di sini

Kerjasama erat rakyat, kerajaan kunci kejayaan pembangunan

Advertisement

SIBU: Ketua masyarakat di kawasan pinggir bandar disaran supaya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dari segala jenis pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh berkata, hubungan baik di antara kerajaan dan rakyat adalah kunci utama bagi setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan.

“Jikalau kita jauh dari kerajaan, pembangunan tidak begitu mudah untuk direncanakan.

“Tetapi jikalau kita sentiasa dekat dengan kerajaan terutamanya rakyat di kawasan luar bandar, saya yakin tidak ada masalah bagi kerajaan untuk membawa pembangunan ke kawasan mereka,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Rantai Ngelambai di Sebintek, Sibu, kelmarin.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Penghulu Jerampang Ratoh, Kaunselor Ali Puji, Kaunselor Andrewson Ngalai dan Kaunselor Duli Sanggau.

Pada majlis yang sama, Mauh menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada penduduk rumah panjang berkenaan.

Bercakap lanjut, Mauh menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa menitikberatkan pelajaran anak-anak mereka.

“Pada satu ketika dahulu ketika bergantung kepada tenaga dan kekuatan untuk membina kehidupan masing-masing.

“Tetapi kini zaman sudah berubah dan pendidikan merupakan modal utama untuk meneruskan kehidupan,” jelas beliau.

Advertisement