Anda di sini

Dirogol bergilir ‘anggota’ JAIS

Advertisement

Dua lelaki menyamar gertak gadis; satu lagi kes babitkan askar menipu masih bujang

KUCHING: Seorang remaja perempuan dipercayai dirogol bergilir-gilir garagara takut setelah digertak oleh dua lelaki yang menyamar sebagai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Isnin lepas.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku apabila gadis berusia 16 tahun itu ditahan dua lelaki tidak dikenali ketika sedang belajar menunggang motosikal bersama teman lelakinya di kawasan Pending di sini.

Dua lelaki tersebut kemudian dipercayai memperkenalkan diri mereka sebagai anggota penguat kuasa JAIS dan mahu menahan mangsa untuk dokumentasi seterusnya meminta mangsa untuk mengikuti mereka.

“Mangsa pada mulanya enggan patuh, namun terpaksa menuruti arahan mereka kerana takut setelah digertak akan diambil tindakan lebih tegas lagi.

“Mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah kereta dipercayai menuju ke arah kawasan Bako di mana dia telah dirogol bergilir-gilir di situ oleh kedua-dua lelaki berkenaan sebelum dihantar ke kawasan rumah mangsa,” kata sumber.

Manakala, teman lelaki mangsa yang mengesyaki perkara buruk menimpa kekasihnya segera ke rumah mangsa untuk melaporkan perkara tersebut kepada keluarganya.

“Mereka mencari mangsa, namun menemui jalan buntu sehingga mangsa pulang sendiri ke rumah mereka kirakira sejam kemudian,” kata sumber.

Mangsa kemudian menceritakan segala yang berlaku kepada keluarganya dan seterusnya dibawa ke balai polis untuk melaporkan mengenai insiden malang tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Mangsa telah dihantar untuk pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada kemaluan mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol),” katanya.

Dalam kes berasingan, berang selepas mendapati dirinya ditipu, seorang wanita yang hamil empat bulan tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol oleh seorang anggota tentera, kelmarin.

Mangsa yang berusia 17 tahun nekad berbuat sedemikian setelah mendapati anggota tentera berkenaan yang juga teman lelakinya menipu masih bujang sedangkan sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Mangsa tampil membuat laporan polis kerana rasa tertipu serta berang selepas mendapati suspek yang memberitahu bahawa dirinya masih bujang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.

“Tambah menyedihkan lagi apabila mangsa yang sudah menjalin hubungan dengan suspek sejak Ogos 2012 ketika dia baharu berusia 15 tahun kini hamil empat bulan,” kata sumber.

Selain itu, difahamkan suspek sebelum ini juga telah dibawa oleh mangsa untuk berjumpa dengan keluarganya bagi berbincang mengenai perkahwinan mereka, namun sehingga kini masih belum memberi jawapan.

Roslan semasa dihubungi semalam turut mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa yang mengandung empat bulan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol),” kata Roslan.

 

Advertisement