Anda di sini

Belajar bertutur dan menulis dalam BI bukan lagi masalah

Advertisement

KUCHING: Kurang mahir untuk bertutur serta menulis dalam bahasa Inggeris (BI) kini bukan lagi satu masalah bagi pelajar-pelajar sekolah di bandar mahupun pedalaman di negeri ini.

Menurut Duta Amerika Syarikat Joseph Yun, pendedahan kepada penggunaan BI terutama dalam bertutur serta menulis menjadi kepentingan sejajar dengan pertumbuhan negara yang dilihat seiiring pertumbuhan negara-negara lain.

“Penguasaan BI dilihat sebagai satu kemestian memandangkan ia merupakan bahasa penghantar antarabangsa dan ia haruslah bermula dari awal lagi terutama di kalangan pelajar sekolah.

“Justeru, pengenalan kepada Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dengan BI yang lebih khusus,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, semalam.

Tambahnya, pelajar-pelajar di negara ini dan Sarawak khususnya harus diberikan pendedahan dengan budaya BI yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, selain menyifatkan ETA sebagai program pertukaran.

Selain itu, pelajar-pelajar yang terlibat juga akan diperkenalkan dengan langkah-langkah persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan, ujarnya.

“Pelajar-pelajar ini akan melangkah ke alam pekerjaan suatu hari kelak, justeru penting untuk mempersiapkan mereka dengan segala kelengkapan terutama kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa yang pelbagai,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Samariang Abang Othman Abang Masagus berkata, sekolahnya menyambut baik program ETA selain berharap akan mendapat kesan positif kepada para pelajar yang menyertainya.

“Saya akan memastikan guru BI di sekolah ini akan bekerjasama dengan Alexandra dalam meningkatkan prestasi BI para pelajar.

“Pada masa sama, saya berasa sangat bertuah kerana SMK Bandar Samariang telah terpilih dan berharap program ETA ini akan memberi impak positif kepada pencapaian BI pelajar sekolah ini,” katanya.

SMK Bandar Samariang terpilih di antara 10 sekolah bagi pelaksanaan program ETA yang berprofil tinggi dengan melibatkan 10 graduan dari Amerika Syarikat yang ditempatkan di sekolah-sekolah menengah yang terlibat di seluruh Sarawak.

Sembilan sekolah lain di seluruh Sarawak yang terlibat dengan program ETA selain SMK Bandar Samariang ialah SMK Semerah Padi, SMK Siburan, SMK Kota Samarahan, SMK Muara Tuang, SMK Tarat, SMK Serian, SMK Taee, SMK Simanggang dan SMK St Luke.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Datu Abdillah Adam serta isteri Joseph, Dr Melanie Billings serta guru ETA SMK Bandar Samariang Elaxandra Mills Victoria.

Advertisement