Anda di sini

Ahli majlis baharu dilantik diseru bangunkan kawasan Kapit

Advertisement

KAPIT: Ahli majlis khasnya yang baharu dilantik di Kapit diseru menjalankan tugas dengan sebaik mungkin demi pembangunan di kawasan itu.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, ahli majlis perlu menggunakan kedudukan masing-masing untuk memacu membangunkan pembangunan di Bahagian Kapit.

“Semua ahli Majlis Daerah Kapit mempunyai peranan untuk menjaga Kapit. Saya mengingatkan setiap seorang daripada anda (ahli majlis) agar memikul tanggungjawab anda dengan serius.

“Ingatlah, pelantikan ini adalah dengan tanggungjawab dan komitmen. Anda mesti bertanggungjawab daripada apa yang anda lakukan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah 32 Ahli Majlis Daerah Kapit (MDK) di sini, semalam.

Masing berkata, walaupun Kapit masih kekurangan dari segi pembangunan, ahli majlis tidak harus berpeluk tubuh, sebalik merancang untuk pembangunan masa depan.

“Dua tahun akan datang, saya ingin menyaksikan bagaimana anda membangunkan Kapit,” katanya.

Sementara itu, Wali Kota yang dilantik semula, Philimon Nuing berkata majlis pelantikan itu adalah inspirasi kepada semua ahli majlis untuk berkhidmat kepada majlis tempatan dengan penuh dedikasi, komitmen dan tanggungjawab.

“Bilangan ahli majlis wanita meningkat daripada tiga kepada tujuh. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN memberi kuasa kepada suara wanita apabila lebih ramai mereka dilantik.

“Juga kali ini, kita mempunyai 16 ahli majlis baharu daripada jumlah kekuatan 32. Nasihat saya bahawa mereka ahli majlis lama (diperbaharui) untuk membimbing yang baru. Apa yang penting, kita mesti bekerja bersama-sama dalam satu pasukan. Pelanggan kita adalah rakyat,” katanya.

Philimon yang memegang jawatan Wali Kota sejak 2003 turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk terus memimpin MDK.

Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan dan Kerajaan Tempatan) Datuk John Sikie, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Kebudayaan Warisan) Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Wilson Nyabong dan Jefferson Jamit.

Advertisement