Anda di sini

Abang Johari enggan ulas spekulasi ganti Taib

Advertisement

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg enggan mengulas spekulasi bahawa beliau ialah antara pemimpin parti yang mungkin akan menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dan Presiden parti.

Meskipun beliau mengesahkan satu mesyuarat khas untuk Majlis Tertinggi parti itu akan diadakan pada Sabtu ini, namun Abang Johari tetap enggan membuka mulut ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan menjadi landasan bagi Taib mengumumkan keputusannya untuk bersara.

“Oleh kerana laporan itu berdasarkan spekulasi, maka saya tidak akan mengulas. Saya tidak mengulas mengenai spekulasi,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Persidangan Laluan Asia 2014, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar bahasa Melayu nasional yang mendakwa Taib akan mengumumkan persaraan beliau sebagai Ketua Menteri, jawatan yang telah dipegang untuk 33 tahun, pada minggu ini.

Laporan yang memetik sumber yang tidak diketahui berkata Taib yang kini 78 tahun dan telah menjadi Ketua Menteri sejak 1981 juga akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada hari berikutnya.

Selain Abang Johari, nama-nama lain yang disebut sebagai kemungkinan pengganti Taib ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Menteri Perancangan Sumber Kedua dan Alam Sekitar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Malah, nama bekas menteri kabinet persekutuan, Datuk Seri Effendi Norwawi yang agak tenggelam sejak beberapa tahun lalu, kini kembali menjadi sebutan.

Advertisement