Anda di sini

Warga Amerika Latin dalang pecah masuk kedai emas

Advertisement

Barangan kemas dianggar bernilai RM10 juta dilarikan

KAJANG: Sekurang-kurangnya empat warga Amerika Latin dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah kedai emas dan melarikan barangan kemas yang dianggar bernilai RM10 juta di kompleks beli-belah One Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya semasa cuti panjang Tahun Baharu Cina.

Kejadian hanya disedari semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata ia berdasarkan keterangan saksi yang melihat empat lelaki keluar daripada premis tersebut dengan membawa sebuah beg.

“Kita percaya kejadian berlaku dalam tempoh 18 jam pada malam Ahad hingga malam Isnin. Dalam tempoh itu juga berlaku ‘black out’ yang kita percaya dilakukan oleh suspek.

“Setakat ini kita telah berhubung dengan pihak lapangan terbang antarabangsa untuk meneliti pergerakan keluar masuk warga Amerika Latin,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan keterangan pemilik premis, kerugian yang dialaminya mencecah RM10 juta, namun taksirkan akan dilakukan semula.

Abdul Rahim berkata suspek turut melarikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis berkenaan termasuk peralatan untuk memecah peti besi yang menyimpan barangan kemas berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan orang dalam

“Premis itu mempunyai CCTV termasuk sensor pengesan pergerakan, namun sistemnya telah dilumpuhkan dan dilarikan. Hanya orang yang betul-betul mempunyai kepakaran boleh melakukannya.

“Kita telah peroleh cap jari dan ia akan diteliti termasuk CCTV yang telah kita ambil di kawasan sekitar premis. Saya percaya dengan kerjasama orang ramai dan pihak pengurusan One Utama, kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. — Bernama

Advertisement