Anda di sini

Unit Rondaan Bermotosikal polis buat tangkapan dan rampasan di Johor

Advertisement

BERLEPAS: Mokhtar (dua, kiri) ketika melepaskan anggota polis unit rondaan bermotosikal (URB) pada majlis penyerahan 51 buah motosikal tambahan untuk URB bagi tiga buah daerah di Wilayah Iskandar Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Baharu, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHARU: Sebanyak 236 tangkapan telah dibuat oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selain melakukan 608 rampasan bagi pelbagai jenis kesalahan jenayah di Johor dalam tempoh 19 Dis 2012 dan 31 Jan tahun ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kejayaan ini adalah hasil pelaburan kerajaan membangunkan infrastruktur keselamatan.

Katanya ini juga merupakan inisiatif yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memerangi jenayah dan memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menghilangkan kebimbangan takut kepada jenayah.

“Termasuk hari ini (semalam), Polis Johor telah dibekalkan dengan 270 motosikal yang membuat rondaan 24 jam di 10 daerah (13 taman perumahan). Siang dan malam mereka membuat rondaan untuk menentukan kawasan yang dironda itu bebas jenayah.

“Ini sekaligus memberikan keyakinan kepada masyarakat serta menyampaikan mesej yang jelas, tepat dan padat kepada penjenayah bahawa polis ada,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Mokhtar menyampaikan 51 buah motosikal bagi URB tiga buah daerah di Wilayah Iskandar iaitu IPD Johor Baharu Selatan (17 buah), IPD Seri Alam (17 buah) dan IPD Nusajaya (17 buah).

Sebanyak RM1.3 juta dibelanjakan kerajaan bagi menyediakan motosikal beserta peralatan tambahan seperti topi keledar dan sarung, kata beliau.

Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2.0, polis Johor  diperuntukkan motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc untuk kegunaan URB.

Bagi taman-taman perumahan yang tidak mempunyai URB, Mokhtar mencadangkan mereka meneruskan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sebagai langkah berjaga-jaga.

Meskipun polis Johor tidak dapat memenuhi permintaan banyak taman perumahan bagi mewujudkan URB, dengan adanya SRS, hasil kerjasama rukun tetangga dan penduduk setempat, ia turut dapat menghalang aktiviti jenayah, kata Mokhtar. — Bernama

Advertisement