Anda di sini

Tujuh sekeluarga sehelai sepinggang

Advertisement

Rombongan dari Pejabat Parlimen Kota Belud, UPKR Usukan dan Umno Bahagian Kota Belud melawat mangsa rumah terbakar di Kg Lingkodon.

Rumah didiami ibu tunggal musnah sama-sekali petang Isnin lalu

KOTA BELUD: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka terbakar dalam satu kejadian pada petang Isnin.

Rumah terbabit didiami oleh seorang ibu tunggal bersama anak-anak serta cucunya.

Jamna Jatun, 62, berkata, rumah yang didiaminya mereka adalah peninggalan arwah ayahnya, yang hampir seusia dengan dirinya.

“Saya menerima takdir ini dan bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dalam kejadian itu,” katanya yang ditemui di Kampung Lingkodon, di sini.

Menceritakan kejadian yang berlaku itu, Norida Norbin, 30, berkata pada ketika itu mereka berada di beranda berbual-bual dengan jiran.

Jeritan anak buah Aiman, 3, mengejutkan mereka namun api sudah membakar sebuah tilam yang disandarkan pada dinding berhampiran meter elektrik.

“Api itu datang dari meter elektrik dan sangat pantas sehingga membakar tilam yang baharu saya naikkan dari jemuran. Saya cuba mengangkatnya namun tidak berdaya kerana bahang api.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana api sangat cepat merebak dan tidak dapat masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan harta benda,” kata Norida, anak sulung Jamna.

Nasib malang yang menimpa keluarga itu segera mendapat bantuan dari Pejabat Parlimen Kota Belud, Pejabat Wakil Rakyat Usukan dan Umno Bahagian Kota Belud.

Sebanyak RM5,200 wang tunai disalurkan oleh wakil-wakil rakyat yang terdiri Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, Adun Usukan Datuk Salleh Tun Said, Adun Tempasuk Datuk Musbah Hj Jamli, Umno bahagian melalui Biro Kebajikan Umno, Biro Perumahan Umno, AJK Rumah Terbuka Krismas Parlimen, UPKR Usukan dan Biro Penerangan Umno.

“Kami berterima kasih di atas sumbangan ikhlas ahli-ahli ‘whatsup’ yang mengumumkan selewat jam 6 petang kelmarin kita berjaya kumpulkan RM5,200 sehingga jam 10 pagi sebelum berangkat ke tempat kejadian,” kata Idris Nanti, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Belud.

Menurut beliau, bantuan selanjutnya akan diselaraskan dengan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Usukan.

Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Usukan Abdul Majin Hj Bessan berkata, rakyat khususnya ahli kumpulan media sosial yang dikendalikan oleh Umno bahagian melalui beberapa kumpulan turut bersama wakil rakyat menyumbangkan bantuan kepada mangsa.

“Maklumbalas dan sambutan sangat pantas membuktikan sikap penyayang, prihatin dan kerjasama masyarakat, secara tidak langsung bantuan yang diberikan pada hari ini tidak bergantung sepenuhnya kepada wakil rakyat,” katanya.

Hadir sama Ketua Anak Negeri (KAN) Ridih Tangoh, Ketua Biro Kebajikan Umno Bahagian Kota Belud Aziz Hj Bidin serta AJK Bahagian Umno.

Advertisement