Anda di sini

SUKSIS perlu diperluaskan ke IPTS di seluruh negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dicadang diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara bagi melahirkan golongan muda yang menghormati undang-undang negara.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Wira Ayub Yaakob berkata sebelum ini program itu dilaksanakan di 24 institusi pengajian tinggi awam.

“Polis memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan supaya memperluaskan program Kor SUKSIS di insitusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pencegahan Jenayah Kampus Kor SUKSIS Universiti Malaya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi pentauliahan gelaran inspektor kepada siswa tahun akhir dan tamat menjalani Kor SUKSIS selama tiga tahun pada hari graduasi pelajar berkenaan.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar merangkap Komandan Kor SUKSIS Universiti Malaya, ACP Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2003, lebih 5,000 pelajar menamatkan program itu, dan ketika ini 3,775 pelatih sedang menjalani latihan.

Sementara itu, Nurul Shuhada Kamarul Zaman, 22, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Ukur Bahan ketika ditemui berkata, beliau menyertai Kor SUKSIS sejak dua tahun lepas.

“Kami didedahkan tentang asas-asas perundangan termasuk ujian berbentuk kawad selain tugasan anggota polis,” katanya.

Mohd Syukur Norfini, 25, pelajar Sarjana Muda Syariah Fiqh yang tamat graduasi SUKSIS tahun lepas berkata beliau dan rakan-rakannya turut mengadakan program SUKSIS ketika hujung minggu dan cuti sekolah di kampus dan sekolah menengah. — Bernama

Advertisement