Anda di sini

Sarawak melangkah bergaya

Advertisement

KEJUTAN BESAR: Pemain pasukan Sarawak meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor dengan jaringan 1-0 pada perlawanan Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Singkirkan Selangor dengan kemenangan 1-0 untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA

KUCHING: Sarawak mengorak langkah ke saingan suku akhir Piala FA 2014 setelah menyingkirkan pendahulu Liga Super 2014 setakat ini, Selangor dengan kemenangan bergaya 1-0 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, petang semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Sarawak, Zamri Morshidi pada minit ke-33 selepas menerima lontaran jauh Ronny Harun.

Selepas jaringan itu, Red Giants (Selangor) terus melancarkan asakan bertubi- tubu namun kekentalan benteng pertahanan Sarawak berjaya mematahkan serangan yang diketuai pemain importnya, Paulo Rangel Do Nascimento.

Bagaimanapun, pada minit ke-62 penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani dilayangkan kad merah selepas mengasari Fitri Shazwan di luar kotak penalti.

Pasukan tuan rumah yang terdesak memburu gol penyamaan, bagaimanapun memasukkan pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah dan pemain tempatan, Abdul Hadi Yahya.

Namun, kemasukan kedua- dua pemain berpengalaman itu gagal membuahkan hasil apabila serangan bertali arus Selangor berjaya dikekang pertahanan Sarawak yang dikemudikan oleh Gabor Gyepes, Ronny, Mohd Hairol Mokhtar dan Ramesh Lai.

Sarawak yang beraksi dengan 10 orang pemain hampir berjaya menjaringkan gol kedua, namun percubaan Ashri Chuchu berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohd Farizal Marlias.

Kejayaan pasukan Sarawak menjejak kaki ke suku akhir Piala FA musim ini diiringi sokongan padu kira-kira ribuan penyokong setia Ngap Sayot yang menyaksikan perlawanan tersebut di Selangor petang semalam.

Pusingan suku akhir bakal menyaksikan Sarawak akan menentang pemenang antara pasukan KL Sime Darby dan Felda United.

Pada perlawanan pusingan pertama sebelum ini, pasukan Ngap Sayot mengalahkan Pulau Pinang dengan 2-1 di Stadium Negeri.

Sementara itu, pada Jumaat ini Sarawak akan menentang Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada saingan Liga Super 2104.

Advertisement