Anda di sini

Pengurangan kos RM2 juta tidak akan jejaskan LTdL 2014

Advertisement

TAJAAN: Abdul Jalil (tiga, kiri) menerima penajaan daripada Telekom Malaysia Bhd (TM) yang disampaikan Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman (empat, kanan) pada majlis penajaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 di Bukit Jalil semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengurangan kos perbelanjaan sebanyak RM2 juta pada penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 tidak akan menjejaskan kualiti dan imej acara perlumbaan berprestij itu.

Kos keseluruhan perbelanjaan LTdL edisi ke-19 itu dijangka menelan belanja RM18 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM20 juta.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata pengurangan kos itu tidak mengubah sebarang perjalanan acara sebaliknya satu majlis pembukaan secara besar-besaran dijangka berlangsung buat julung kali tahun ini.

“Ini merupakan kali pertama berlakunya pengurangan kos. Segala perjalanan semasa acara ini berlangsung tidak akan terganggu. Kita dapat kurangkan kos kali ini dengan kaedah rundingan yang lebih berkesan.

“Usaha ini oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan kita sendiri boleh mengurangkan begitu banyak kos terutama kos upah kontraktor,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman penajaan oleh Telekom Malaysia (TM) di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini semalam.

TM turut mengumumkan pemberian tiga kategori anugerah iaitu Penunggang Terbaik, Raja Pecut dan Raja Bukit.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah dan Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman.

Emir berkata penganjuran kali ini turut mengurangkan perbelanjaan bagi program tidak penting dan acara tambahan.

“MSN sediakan tajaan sebanyak RM15 juta. Kita akan kembalikan wang kepada MSN jika terdapat lebih banyak tajaan luar, maka MSN boleh kurangkan tajaan LTdL dan gunakan untuk sukan lain,” katanya.

Edisi ke-19 LTdL membabitkan 10 peringkat, yang bermula dari Langkawi melalui Perak, Kuala Lumpur, Genting Highlands, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang sebelum berakhir di Terengganu dengan meliputi jarak sejauh 1,507.9 kilometer.

Perlumbaan kali ini menampilkan 23 pasukan termasuk enam pasukan ProTeam dan setakat ini 22 pasukan sudah mengesahkan penyertaan antaranya ProTeam Katusha dari Rusdia, Saxo Tinkoff (Denmark) dan pasukan ProBenua, Colombia. — Bernama

Advertisement