Anda di sini

Pemilihan teliti calon BN bagi PRK DUN Kajang

Advertisement

PANTAU HARGA: Muhyiddin (tiga kanan) meninjau harga bawang besar di Pasar Raya Econsave di Kajang semalam. — Gambar Bernama

KAJANG: Calon Barisan Nasional (BN) akan dipilih dengan teliti selain memastikan individu itu diterima rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata calon berkenaan juga haruslah mempunyai prestasi dan kredibiliti yang baik serta merupakan anggota parti komponen BN.

“(Pemilihan calon) kita akan putuskan dalam tempoh yang terdekat,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN kepada media selepas membuat tinjauan mengejut bagi memeriksa harga barang di Pasar Raya Econsave di sini.

Mengiringi beliau ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ditanya mengenai calon BN yang dikatakan dari MCA, bel iau berkata: “Kerusi itu merupakan kerusi MCA. Walaupun ada pelbagai pandangan, ini tidak dapat diputuskan sehingga dibincangkan dengan Presiden MCA dan lain-lain komponen dalam parti.

“Semua ini terserah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas anggota DUN itu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas, dan pakatan pembangkang menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan.

Kajang mempunyai 39,030 pengundi dengan 48.3 peratus daripadanya Melayu, Cina (40.5 peratus), India (10 peratus) dan kaum lain (1.2 peratus).

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, MCA memenangi kerusi itu tetapi tewas pada PRU 2008 dan PRU 2013 kepada PKR. — Bernama

Advertisement