Anda di sini

MotoGP: Sepang venue ujian pramusim

Advertisement

MELURU PANTAS: Pelumba Yamaha Factory Team, Valentino Rossi semasa menjalani ujian Pra Musim MotoGP 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai venue rasmi bagi ujian pramusim Kejohanan MotoGP Dunia 2014 selama tiga hari bermula semalam.

“TMM 2014 (Tahun Melawat Malaysia) bertambah baik dengan satu lagi acara bertaraf dunia berlangsung di Sepang. Saya mengesyorkan peminat antarabangsa yang sudah berada di Malaysia untuk sambutan TMM 2014 supaya berkunjung ke litar SIC.

“Datang dan lihat aksi wira-wira MotoGP menguji kenderaan terbaru masing-masing dalam menghadapi saingan sepanjang tahun untuk merebut gelaran dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.

Beliau berkata peminat MotoGP boleh menyaksikan sesi ujian pramusim itu secara percuma.

Sempena dengan sesi ujian pramusim tiga hari itu, SIC akan mula memperkenalkan struktur harga tiket bagai MotoGP Grand Prix Malaysia yang dijadual daripada 24 hingga 26 Okt ini dengan menawarkan diskaun khas untuk pembeli awal.

“Peminat juga boleh mendapatkan tiket untuk perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia dari 28 hingga 30 Mac ini pada sesi ujian pramusim itu,” katanya.

Beliau berkata tiket harga promosi dengan potongan 40 peratus bagi perlumbaan F1 juga akan dijual kepada pemegang MyKad.

Dorna, pemegang hak MotoGP Dunia, juga menjadualkan sesi kedua ujian pramusim di Litar SIC dari 26 hingga 28 Feb ini.

Ujian rasmi bagi dua lagi kategori perlumbaan MotoGP — Moto2 dan Moto3, yang menampilkan empat pelumba Malaysia, akan diadakan selama tiga hari di Litar Valencia, Sepanyol, pada 10 Februari ini.

Ujian itu akan disusuli dengan dua lagi sesi di Litar Jerez (18-20 Feb) dan dari 11 hingga 13 Mac ini.

Perlumbaan Moto3 akan menyaksikan pelumba ‘rookie’ Malaysia, Amirul Hafiq Azmi bagi pasukan SIC Ajo Racing Team dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang beraksi bagi pasukan baharunya, Ongetta AirAsia Team.

Bagai Moto2, cabaran Malaysia akan digalas oleh Azlan Shah Kamaruzaman bagi pasukan Idemitsu Honda Team Asia dan pendatang baharu Hafizh Syahrin Abdullah bagi pasukan Petronas Raceline.

Pasukan Malaysia, Caterham Moto Racing Team, akan diwakili oleh pelumba Perancis, Johann Zarco dan pelumba Amerika Syarikat, Josh Herrin.

Perlumbaan MotoGP Dunia sebanyak 19 pusingan akan bermula di Grand Prix Qatar di Litar Losail pada 23 Mac ini. — Bernama

Advertisement