Anda di sini

Liga Betong sedikit hambar

Advertisement

Berikutan ketiadaan penganjuran sebarang kejohanan selain kejohanan Liga Betong dan Piala Datuk Patinggi Jabu: Majid

BETONG: Perkembangan Liga Bola Sepak Bahagian Betong sedikit hambar berikutan ketiadaan penganjuran sebarang kejohanan selain kejohanan Liga Betong dan Piala Datuk Patinggi Jabu yang hanya dianjurkan mengikut dan menunggu reaksi pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Setiausaha Kehormat, Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Majid Amit berkata, pihaknya masih belum mendapat lampu hijau berhubung format penganjuran kejohanan pada tahun ini berikutan pelepasan tajaan Naim Holding kepada Liga Bahagian pada tahun ini melewatkan persediaan penganjurannya.

“Kita masih belum dapat memberi ketetapan yang jelas berhubung penganjuran sebarang kejohanan bola sepak di sini. Namun, kita akan memaklumkan apa juga keputusan persatuan atau reaksi FAS bagi memastikan penganjuran kejohanan menepati objektif yang disasarkan.

“Apapun mana-mana kejohanan yang bakal dianjurkan memerlukan persiapan rapi untuk membentuk pasukan yang mantap dan berkualiti. Justeru itu, setiap pasukan yang ingin menyertai kejohanan yang BDFA anjurkan perlu bersiap sedia dalam setiap perancangan dalam pasukan terbabit.

“Ini bagi menjadikan liga di Betong mencapai prestasi yang boleh dibanggakan dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, katanya, BDFA juga dapat mencari dan melahirkan bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan sebagai tunjang kemajuan bola sepak tempatan dan diiktiraf oleh FAS untuk disenarai dalam barisan skuad negeri.

Majid berkata, pemain- pemain juga diharap tidak hanya sekadar menyertai pasukan yang bertanding pada kejohanan yang dianjurkan tetapi perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan sentiasa berlatih bagi membentuk kemahiran individu untuk bersaing dalam pasukan masing-masing.

“Selain itu, BDFA juga berusaha memastikan bahawa penganjuran kejohanan yang akan datang lebih berkualiti dan mencapai kehendak pasukan. Ini juga adalah sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang cuba kami sasarkan dan menilai kemampuan setiap ahli jawatankuasa BDFA,” jelas beliau.

Advertisement