Anda di sini

Keselamatan di Stadium Kuantan dipertingkatkan

Advertisement

KUANTAN: Tahap keselamatan di Stadium Darul Makmur di sini semasa perlawanan Liga Super antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (JDT) Jumaat ini akan dipertingkat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata jumlah anggota keselamatan akan ditambah lebih daripada sekali ganda pada malam perlawanan.

“Jika dalam perlawanan sebelum ini hanya 300 anggota keselamatan yang ditempatkan bagi mengawal perlawanan, tetapi Jumaat ini kekuatan anggota akan ditambah sehingga 784 orang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mengenai persiapan perlawanan tersebut di sini semalam.

Beliau berkata selain kawalan dan rondaan, dua ekor anjing dari Unit K9 akan turut digunakan.

Langkah keselamatan dipertingkat ekoran insiden tidak diingini berlaku ketika perlawanan Piala FA antara JDT dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di Larkin, Johor pada Sabtu lalu.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata 31,000 tiket akan mula dijual Khamis ini dan sekiranya kehadiran penonton melebihi jumlah yang ditetapkan, kemungkinan skrin pemanca besar akan dipasang di lokasi terpilih.

“PBNP juga menyediakan 100 tiket yang dikhaskan untuk penyokong pasukan pelawat dan sekiranya tidak dibeli, tiket berkenaan dijual kepada penyokong,” katanya. — Bernama

Advertisement