Anda di sini

Imigresen dan Wisma Putra bekerjasama tangani isu pendatang asing Myanmar

Advertisement

SERAH TUGAS: Alias menyerahkan nota serah terima tugas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kepada Aloyah Mamat pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen bekerjasama rapat dengan Wisma Putra bagi menangani isu pendatang asing Myanmar yang tidak diterima pulang negara asal mereka.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata walaupun pendatang asing itu bercakap dalam bahasa Myanmar dan memang datang dari wilayah berkenaan namun tiada dokumen dikeluarkan kerajaan Myanmar.

“Wisma Putra sedang berhubung dengan kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan isu ini dan berharap mampu mendapatkan kerjasama kerajaan Myanmar untuk mengeluarkan dokumen perjalanan kepada etnik Rohingya, Chin, Kachin dan Mon,” katanya.

“Proses penghantaran pulang biasanya akan dibuat dalam masa tujuh hari tetapi ada juga kes penghantaran pulang terpaksa dilanjutkan kerana halangan mengenai dokumen perjalanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan nota serah tugas semalam.

Tambah beliau, sepanjang tahun lepas kerajaan Malaysia menghantar pulang 45,000 pendatang asing dari pelbagai negara.

Sementara itu, beliau berkata 13 majikan ditahan sepanjang Op Bersepadu 6P yang dijalankan sejak 21 Jan dengan tangkapan 3,000 pendatang asing.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Aloyah Mamat akan menggantikan tempat Alias sebagai Ketua Pengarah berkuat kuasa esok.

Alias pula akan memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula hari ini. — Bernama

Advertisement