Anda di sini

Empat beradik teruja buat persiapan persekolahan

Advertisement

PERSIAPAN SEKOLAH: Aisyah (kiri) bersama adik-adiknya memilih pakaian sekolah sambil dibantu Shaleen (kanan) ketika membeli-belah di sebuah kedai di Kota Baharu semalam. — Gambar Bernama

Masalah bahasa bakal menjadi cabaran utama di sekolah

KOTA BAHARU: Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden, begitu teruja membuat persiapan persekolahan apabila ibu saudara mereka, Shaleena Nor Shal, 43, membawa mereka membeli pakaian sekolah baharu di sebuah kedai di Pasir Tumboh di sini, semalam.

Aisyah Azizul Raheem, 15, dan adik-adiknya, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, kelihatan gembira apabila dibawa membeli-belah dan mencuba pakaian serta kasut baharu ditemani saudaramara yang lain.

Anak sulung pasangan itu, Aisyah, ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat, di sini, berkata walaupun gembira dapat kembali bersekolah, namun pada masa yang sama mengakui masalah bahasa bakal menjadi cabaran utama adikberadiknya itu.

“Bahasa Melayu menakutkan saya sebab tak berapa nak faham, nak buat esei (karangan Bahasa Melayu) susah. Saya boleh baca Bahasa Melayu, tapi tak faham,” katanya.

Aisyah yang akan memasuki tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor di sini Ahad ini, berkata beliau berfikir untuk ke sekolah antarabangsa tetapi dinasihatkan ibunya supaya belajar di sekolah bantuan kerajaan dan beliau berharap dapat menguasai bahasa Melayu di sekolah harian.

Kelmarin, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menyerahkan Surat Penempatan Sekolah kepada Aisyah dan adikadiknya itu dan memberi kelonggaran kepada mereka untuk ke sekolah pada bilabila masa.

Aisyah berkata ketika tinggal di Sweden bersama keluarga, ibunya Shalwati Nor Shal dan ayahnya, Azizul Raheem Awalludin sering bertutur menggunakan bahasa Melayu dengan mereka.

Ditanya mengenai perbezaan sesi persekolahan apabila mereka terpaksa memakai pakaian seragam, Aisyah berkata ia juga satu cabaran baharu buat beliau dan adikadiknya kerana mereka bebas berpakaian biasa ketika bersekolah di Sweden.

“Gembira tapi pada masa yang sama takut nak pakai (baju kurung) sebab nanti berpeluh. Di Sweden boleh pakai skirt tapi dekat sini kena pakai pakaian labuh.

“Adik lelaki saya mungkin tak ada masalah sebab mereka pakai baju dan seluar panjang… ia seperti pakaian biasa buat mereka, tapi tak tahulah sebab saya pun tak ada masa nak bercakap dengan mereka kerana sering dikunjungi tetamu,” katanya.

Sementara itu, ibu saudaranya, Shaleena berkata walaupun sebuah sekolah antarabangsa memberi tawaran kepada empat adik-beradik itu untuk meneruskan persekolahan di institusi berkenaan, namun beliau menghormati keputusan kakaknya, Shalwati Nor Shal, yang mahukan anak-anaknya untuk bersekolah di sekolah bantuan kerajaan.

Selain itu, Shaleena berkata beliau turut mengajar keempat-empat anak saudaranya itu mengaji al-Quran bagi mengekalkan rutin harian mereka ketika bersama keluarganya semasa berada di Sweden.

“Memang kakak sentiasa pastikan anak-anaknya mengaji al-Quran terutama selepas Maghrib dan solat berjemaah bersama keluarga, dan saya akan kekalkan rutin itu walaupun empat beradik ini, untuk sementara waktu tidak bersama ibu dan bapa mereka,” katanya.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Nor Shal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Disember tahun lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat. — Bernama

Advertisement