Anda di sini

Dua melecur enjin sampan meletup

Advertisement

BUTTERWORTH: Dua nelayan cedera apabila enjin sampan milik majikan mereka meletup di pantai Kuala Muda, dekat sini Ahad lepas.

Kejadian pada kira-kira jam 4 pagi itu menyebabkan tapak kaki kiri Mohd Hazil Abu Bakar, 34, hancur manakala kaki kanannya patah dan mukanya melecur.

Beliau kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Rakannya, Mohd Azrai Othman, 23, pula melecur di seluruh muka dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Mohd Hazil berkata ketika kejadian, beliau dan Mohd Azrai cuba menghidupkan enjin sampan itu untuk dialih dari persisiran pantai ke pangkalan jeti Kuala Muda, kira-kira 500 meter dari tempat sampan itu diletakkan.

“Ketika cuba menghidupkan enjin, ia meletup dan kami melambung ke udara. Saya terjatuh ke dalam sampan itu manakala Azrai terjatuh ke dalam sampan bersebelahan,” katanya selepas dilawat Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam.

Mohd Hazil berkata kejadian itu juga menyebabkan sebahagian daripada sampan milik majikannya terbakar.

Sementara itu, Mohd Azrai yang ditemui di Hospital Pulau Pinang berkata kejadian itu berlaku dengan pantas.

Sejurus kejadian, katanya beliau dihantar untuk rawatan di Hospital Kepala Batas tetapi dipindahkan ke HPP kerana melecur teruk di muka.

Reezal Merican, yang turut melawat Mohd Azrai, menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada mereka. — Bernama

Advertisement