Anda di sini

Bekas peguam bebas tuduhan pecah amanah

Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang bekas peguam dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam dari tuduhan melakukan pecah amanah (CBT) berjumlah RM69,000 kira-kira 16 tahun lepas.

Panel tiga anggota dipengerusikan oleh Hakim Datuk Linton Albert membenarkan rayuan oleh Jeyapalan T.S. Mahesan, 60, bagi mengetepikan sabitannya dan penjara lima tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Jeyapalan didapati bersalah dan dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen tetapi berjaya mengurangkannya kepada lima tahun menerusi rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusannya, Hakim Albert berkata sabitan Jeyapalan adalah tidak selamat oleh kerana hakim mahkamah sesyen telah melakukan kesilapan besar yang kemudian tidak dihiraukan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, kesalahan yang didakwa serta elemen ketidakjujuran tidak dipastikan dan menambah bahawa pihak pendakwaan juga gagal memanggil seorang saksi yang boleh memberi keterangan tentang isu ketidakjujuran.

Jeyapalan dilihat menitiskan air mata bila mahkamah mengumumkan keputusan. Beliau didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM69,041 yang diamanahkan kepadanya dari jualan sebuah rumah milik pasangan – ahli perniagaan Lee Hock Seng dan pengarah syarikat Puah Kam Moi di Bangsar Baru, Kuala Lumpur, antara 3 dan 4 Mac, 1998.

Dua lagi anggota yang bersidang dalam panel ialah Hakim-hakim Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Seri Zakaria Sam.

Jeyapalan, kini seorang pensyarah kanan undang-undang, diwakili oleh peguam Francis Pereira sementara timbalan pendakwa raya Nazrul Nizam Mohd Zameri bertindak bagi pihak pendakwaan. — Bernama

Advertisement