Anda di sini

ADUN PKR nafi keluar parti, dakwa surat palsu

Advertisement

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang dari PKR S.Kesavan semalam menafikan beliau keluar parti itu seperti yang didakwa melalui sepucuk surat yang dialamatkan kepada Speaker DUN Perak Datuk S.K Devamany semalam.

Beliau berkata ia adalah surat palsu yang dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan namanya.

“Saya teliti tandatangan pada surat itu…ia berlainan dengan tandatangan saya dan kepala surat juga menunjukkan ia bukan yang dikhaskan untuk ADUN,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai sepucuk surat bertarikh 2 Feb 2014 yang dialamatkan kepada Devamany yang kononnya beliau mengisytiharkan diri keluar dari PKR secara rela hati berkuat kuasa Ahad lepas.

Menurut surat itu yang kononnya ditandatangani Kesavan, tindakan itu dilakukan selepas hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti berkenaan.

Kesavan berkata beliau dimaklumkan bahawa seorang lelaki yang kononnya wakil beliau telah menyerahkan surat itu ke pejabat Speaker DUN semalam.

Beliau berpendapat tindakan itu mungkin berkaitan dengan majlis perkahwinannya pada 10 Februari ini dan pilihan raya kecil DUN Kajang tidak lama lagi.

“Saya akan hubungi Speaker untuk memaklumkan dan menjelaskan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Devamany berkata pejabatnya menerima surat itu pada jam 2.40 petang semalam daripada seorang lelaki.

Beliau berkata pihaknya menerima sebarang surat yang dialamatkan kepada pejabat Speaker DUN tanpa menyiasat sama ada ia palsu atau sahih.

“Saya diberitahu pejabat saya menerima surat itu daripada seorang lelaki. Hal berkenaan surat itu tidak berkaitan dengan hal ehwal perundangan dan Dewan Negeri.

“Saya tidak mahu hal perundangan diheret ke dalam perkara berkaitan parti, jika ada. Jadi, Kesavan boleh membuat penjelasan kepada semua berhubung surat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam. — Bernama

Advertisement