Anda di sini

Warga emas maut, 11 cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Melaka

Advertisement

MELAKA: Seorang warga emas maut manakala 11 termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Raya AMJ (Air Keroh-Melaka-Jasin) dekat Bukit Lintang di sini, awal pagi semalam.

Musa Tahir, 62, maut di tempat kejadian akibat patah tulang belakang dan rusuk dalam kemalangan kira-kira jam 1.00 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata ketika kejadian, kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki Musa bersama anak perempuan berusia 28 tahun dan dua lagi ahli keluarganya sedang dalam perjalanan dari bandar raya Melaka menuju ke Muar, Johor.

“Dua buah kereta jenis Toyota Altis dan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan dipercayai bergesel sebelum kereta Toyota Altis tersebut terbabas ke kanan jalan lalu merempuh kenderaan dinaiki mangsa,” katanya kepada pemberita di sini.

Manakala Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun bersama enam penumpang pula terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

Salehhudin berkata akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza, seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 58 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Beliau bagaimanapun berkata anak perempuan Musa hanya cedera ringan.

Katanya pemandu Toyota Altis, seorang lelaki berusia 20 tahun serta pemandu Proton Saga bersama tiga penumpang wanita dan tiga kanak-kanak perempuan berumur tiga hingga tujuh tahun, kesemuanya hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 20-an, berkata ketika kejadian, dia menaiki sebuah kenderaan lain dan berada di belakang kenderaan dinaiki mangsa.

Katanya kesemua mereka baharu pulang bercuti dari Cameron Highlands dan singgah menghantar saudara di Taman Perkota di sini sebelum pulang ke Muar.

Amy berkata kereta jenis Proton Persona yang dinaikinya bagaimanapun sempat mengelak daripada terlibat dalam kemalangan itu. — Bernama

Advertisement