Anda di sini

KuchKelab Motocross Sarawak sedia bersaing Cabaran Motocross AAM

Advertisement

AKSI HEBAT: Aksi-aksi hebat Cabaran Motocross AMM-Sarawak di Tudan MX Trx Miri pada 2012.

KUCHING: Kelab Motocross Sarawak bersedia memberi saingan pada Cabaran Motocross AAM Sarawak 2014 yang djadualkan bermula pada April depan.

Presidennya, William Sinos berkata ahli-ahli kelab seramai 55 orang kini aktif menjalani latihan dan bersedia untuk memberi saingan pada acara sukan bermotor itu.

“Meskipun kurang publisiti namun kelab ini masih lagi aktif dan tidak pernah terlepas daripada menyertai aktiviti-aktiviti motocross yang dianjurkan, sama ada di peringkat negeri, negara mahupun luar negara.

“Pada tahun ini, kelab kami sekali lagi akan mengambil bahagian dalam Cabaran Motocross AAM Sarawak yang dijadualkan bermula April depan,” katanya ketika dihubungi semalam bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kelab itu.

Tambah William, selain aktif dalam acara-acara sukan bermotor di peringkat negeri dan negara, kelab tersebut turut menerima jemputan daripada kelab-kelab luar seperti Indonesia dan Sabah.

Cabaran Motocross AAM Sarawak merupakan perlumbaan bertaraf nasional anjuran Persatuan Sukan Lumba Automatif Sarawak (SARSA) selain turut mendapat kerjasama daripada kementerian berkaitan.

Perlumbaan lima pusingan itu dijadualkan bermula di Kota Samarahan diikuti Miri, Sibu, Kanowit dan dijangka berakhir di Saratok.

Dalam perkembangan berkaitan, William berkata Litar Stungkor Motocross Park yang terletak di Jalan Lundu kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuching masih dibuka kepada pelumba-pelumba untuk latihan dan menjalankan aktiviti mereka.

Malah katanya, kelab terbabit juga masih terbuka untuk keahlian baharu dan mereka yang berminat boleh menghubungi William di talian 019-8174654 bagi pertanyaan dan maklumat lanjut.

Kelab itu sebelum ini pernah menjayakan temasya sukan ekstrim di Litar Stungkor Motocross Park yang menyaksikan 40 orang pelumba bersaing dalam enam kategori.

Antara kategori dipertandingkan ialah Stungkor Motocross King (Terbuka), Motocross Novice (Sabah/Sarawak Tertutup), Motocross Executive (Veteran 40 ke atas), Scrambler Bash (Sabah/Sarawak Tertutup), Stungkor Scrambler Masters (Terbuka) dan All Terrain Vehicle (ATV) terbuka.

Advertisement