Anda di sini

Kim Swee kendali sementara skuad Harimau Malaya

Advertisement

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melantik ketua jurulatih pasukan Harimau Muda A (bawah 23) Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara itu berkata Kim Swee ditugaskan untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal bulan depan.

Katanya, perlantikan pengendali berusia 43 tahun itu dibuat memandangkan faktor kesuntukan masa untuk mencari jurulatih baharu selepas perbincangan untuk mengambil bekas pengendali pasukan kebangsaan Jepun, Philippe Troussier dari Perancis baru-baru ini gagal mencapai kata sepakat.

“Saya berharap pengumuman ini dapat menghentikan pelbagai khabar angin mengenai siapa yang sepatutnya menjadi pengendali skuad bola sepak kebangsaan yang disebarkan sebelum ini.

“Saya selaku pengurus bola sepak kebangsaan turut yakin dengan kredibiliti yang dimiliki Kim Swee untuk membawa pasukan kita ke tahap lebih baik,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini semalam.

Dalam pada itu, Subahan mendedahkan bahawa FAM sedang menilai beberapa calon baharu yang berpotensi sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya walaupun sudah mempunyai senarai pendek 42 calon sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata FAM tidak menetapkan tempoh masa bagi mencari ketua jurulatih baharu memandangkan skuad kebangsaan hanya berdepan Filipina dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac sebelum bertolak ke UAE untuk menghadapi Yemen, empat hari kemudian. — Bernama

Advertisement