Anda di sini

Jabatan Kastam lantik 30 pegawai beri penerangan GST

Advertisement

KOTA BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan melantik 30 pegawainya untuk memberi penerangan kepada penduduk di negeri ini mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan 1 April 2015.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata selain penerangan kepada kumpulan sasar, mereka akan turut pergi kampung-kampung untuk menyebarluaskan maklumat mengenai GST pada kadar 6 peratus.

Beliau  berkata sejak pengumuman mengenai pelaksanaan GST dibuat, kira-kira 15 seminar telah diadakan untuk memberi penerangan kepada golongan profesional.

“Kita bagi penerangan kepada kumpulan itu terlebih dulu dengan harapan mereka dapat menyampaikan sedikit sebanyak maklumat mengenai GST kepada masyarakat. Kita tak nak masyarakat salah faham dan menganggap GST ini satu penipuan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

GST sebanyak 6 peratus akan menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada yang termasuk cukai jualan dan cukai perkhidmatan sebanyak 16 peratus.

Sehingga 2009, GST dilaksanakan di 146 buah negara, dengan Perancis menjadi negara pertama melaksanakannya pada 1954. — Bernama

Advertisement