Anda di sini

ESSCOM mahu contohi konsep kampung air Brunei di ESSZONE

Advertisement

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berminat mendalami konsep dan model perkampungan air Brunei Darussalam untuk dicontohi dalam pelan perancangan penempatan semula perkampungan air di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata pihaknya akan menghantar beberapa pegawai tinggi untuk meninjau dan melihat sendiri model projek pembangunan kampung air di negara jiran itu.

Katanya konsep perkampungan air Brunei, yang menyediakan kemudahan sekolah, klinik, balai polis dan balai bomba, merupakan antara yang terbaik dan tersusun di rantau ini.

“Kita mahu lihat konsep yang dipraktikkan di Brunei secara menyeluruh dan terperinci untuk disesuaikan bagi pelaksanaan program yang sama di ESSZONE,” katanya semasa menyampaikan taklimat ESSCOM sempena lawatan delegasi enam penyelidik Jabatan Penyelidikan Brunei Darussalam diketuai pengarahnya Abdul Aziz Othman ke ibu pejabat ESSCOM di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun dan Pengarah Bahagian Awam dan Khidmat Pengurusan ESSCOM Abdul Rahim Ishak.

Mohammad berkata ESSCOM telah mengenal pasti tiga daerah ESSZONE iaitu Semporna, Sandakan dan Lahad Datu sebagai projek perintis program bancian bagi tujuan penempatan semula perkampungan air tersebut.

Katanya operasi bancian sudah dilancarkan di Mukim Simunul, Semporna tahun lepas, operasi bancian bagi perkampungan air Sandakan akan dilaksanakan selama tiga bermula 15 Feb ini manakala bancian bagi daerah Lahad Datu masih di peringkat perancangan. — Bernama

Advertisement