Anda di sini

Empat emas sasaran Sarawak acara angkat berat SUKMA

Advertisement

SOKONGAN MORAL: Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin bergambar bersama atlet angkat berat negeri.

KUCHING: Empat pingat emas menjadi sasaran Sarawak dalam acara angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis tahun ini.

Jurulatih pasukan angkat berat Sarawak, Edmund Yeo berkata sasaran itu realistik selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada SUKMA XV di Pahang dua tahun lalu.

Katanya, ketika itu Sarawak meraih tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Beliau juga percaya kerja keras dan kesungguhan atlet-atlet semasa latihan sasaran ditetapkan mampu dicapai.

“Jika kita bekerja keras dan percaya dengan kemampuan diri sendiri, saya fikir kita boleh lakukannya,” katanya.

Yeo ketika ini mempersiapkan pasukan dengan sekurang-kurangnya menyertai satu kejohanan sebelum SUKMA Perlis.

“Saya memikirkan banyak kejohanan. Pasukan kita akan pergi ke Miri awal bulan depan,” ujarnya.

Menurutnya, kejohanan yang berlangsung di Miri merupakan pendedahan terbaik kerana atlet dari Sabah dan Labuan turut mengambil bahagian.

Untuk SUKMA tahun ini, Sarawak menghantar lima atlet angkat berat.

Atlet angkat berat wanita, Jelinie Empera yang memenangi dua pingat emas untuk Sarawak pada SUKMA XV menjadi sandaran utama Sarawak di SUKMA Perlis nanti.

Advertisement