Anda di sini

Empat beradik ditawar sekolah di SMK dan SK Padang Kala

Advertisement

MESRA: Zahari (tengah) menyerahkan surat Penempatan Sekolah di SMK dan SK Padang Kala kepada Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, di rumah keluarga mereka di Kampung Wakaf Tok Wali di Kota Baharu semalam. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU: Empat anak pasangan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden, ditawar bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Kala dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala yang terletak berdekatan dengan rumah ibu saudara mereka di Kampung Tok Wali, Peringat, di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Zahari Daud berkata pihaknya memberi kelonggaran kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan persekolahan mereka di bawah dasar Pendemokrasian Pendidikan Negara.

“Kita akan beri kelonggaran kepada kanak-kanak ini untuk memulakan persekolahan pada bila-bila masa dan mereka akan diberi keistimewaan sama seperti pelajar lain.

“Antaranya mereka akan menerima Bantuan Awal Persekolahan RM100 dan bantuan buku teks,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Surat Penempatan Sekolah di rumah ibu saudara mereka, Shaleena Norshal, 43, yang menjaga empat beradik itu di sini semalam.

Zahari berkata JPN juga turut mengarahkan pengetua dan guru besar serta kaunselor untuk memberi perhatian kepada kanak-kanak berkenaan bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan membantu mereka menguasai bahasa Melayu kerana mereka kurang fasih.

“Ibu saudara mereka (Shaleena) juga boleh membantu memandangkan beliau merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok di Bachok,” kata Zahari.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Aishah Azizul Raheem, 14, mengucapkan terima kasih kepada JPN Kelantan yang telah membantu beliau dan adik-adiknya untuk meneruskan persekolahan dalam masa terdekat.

Aishah turut berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di sekolah baharunya itu.

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat persediaan seperti membeli pakaian sekolah kerana baharu tiba di Malaysia dan terus dikunjungi pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa keluarganya.

Empat beradik itu, Aishah dan adik-adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba jam 7.04 pagi Sabtu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke kampung ibunya di Kota Baharu.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Sementara itu, Aishah memberitahu Bernama bermain permainan video adalah satu cara untuk dia dan adik-adiknya menghilangkan tekanan ketika dijaga keluarga angkat yang dilantik pihak berkuasa Sweden sebelum kembali ke Malaysia.

Sementara menunggu kes ibu bapa mereka diselesaikan, gadis itu berjanji untuk menjaga adik-adiknya.

“Saya sayang ibu dan ayah. Saya akan cuba untuk jadi kakak yang baik kepada  adik-adik saya. Saya harap mereka akan dibebaskan dan pulang ke Malaysia dengan segera,” katanya dalam nada sedih. — Bernama

Advertisement