Anda di sini

Taib ‘tukar’ rumah usang Hii

Advertisement

MESRA: Taib dan isteri berbual sesuatu dengan Hii (tiga kiri) dan suaminya sambil diperhatikan oleh Lee (kanan) di Miri semalam.

MIRI: Hii Yew Fah, 54, sep­erti tidak percaya apabila diberitahu bahawa Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib ingin berkunjung ke rumah usangnya pada Tahun Ba­haru Cina tahun lalu.

Kunjungan Taib dan is­terinya pada ketika itu turut mengubah nasib keluarganya yang terdiri daripada tiga anak dan tiga cucunya dengan ban­tuan membina rumah konkrit baharu.

Daripada sebuah rumah usang dan kini rumah konkrit yang baharu, Hii dan kelu­arganya hidup dengan lebih selesa atas bantuan diberikan oleh Taib.

“Kami amat berterima kasih kepada beliau (Taib) atas kemurahan hatinya ser­ta keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan seperti kami sekeluarga.

“Dengan adanya rumah baharu ini, impian kami untuk memiliki sebuah rumah yang selesa untuk didiami telah tercapai,” katanya gembira menerima kunjungan Taib dan isteri sempena Tahun Ba­haru Cina di sini, semalam.

Menurut Hii, beliau dan keluarga masih tergamam dan terharu dengan kesudian Ketua Menteri serta isteri meluangkan masa untuk berkunjung ke rumahnya.

Jelas beliau, ketika men­unggu kunjungan Taib dan rombongan ke rumahnya semalam beliau khuatir dan bimbang hidangan disediakan tidak memenuhi cita rasa pengunjung.

“Bagaimanapun, saya amat terharu dengan sifat rendah diri yang ditunjukkan oleh Taib dan isteri yang tidak kisah serta sudi duduk di sofa biasa dan menjamu hidangan yang kami sediakan.

“Kami tidak dapat mem­balas jasa dan bantuan yang diberikan.

“Kami hanya mampu men­doakan agar beliau (Taib) serta keluarga sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan diberi berkat serta rezeki yang melimpah.

“Semoga beliau mampu terus membangunkan negeri kita ke arah yang lebih baik,” katanya.

Taib dan isteri serta rom­bongan turut meluangkan masa berkunjung ke rumah Hii selepas mengadakan kun­jungan ke kediaman Pengerusi Kumpulan Syarikat Interhill Datuk Hii Chang Pii dan diiku­ti rumah usahawan Miri Datuk Ting Ong Hua serta Pengerusi Eksekutif Miri Housing Group of Companies Datuk Lau Siu Wai sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu.

Taib ketika ditanya men­genai skim penempatan se­mula selepas lawatan ke rumah Hii memberitahu, ia antara cara terbaik bagi mengeratkan dan menyatupadukan masyar­akat berbilang kaum dalam suasana aman dan harmoni.

“Ini juga adalah lambang semangat perpaduan serta konsep 1Malaysia yang ada di negara kita.

“Konsep sebegini (skim penempatan semula) perlu dilakukan dan akan diperlu­askan di Sarawak,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang turut menyer­tai kunjungan berkenaan ber­kata Hii amat bertuah kerana berpeluang memiliki sebuah rumah baharu dengan bantuan daripada Ketua Menteri.

Menurutnya, lebih 20 ke­luarga miskin di penempatan semula Tudan menerima manfaat dan memiliki rumah yang dibina oleh kerajaan melalui pelbagai saluran.

Kerja-kerja pembinaan rumah konkrit Hii bermula pada April 2013 dan siap sepenuhnya pada Jun 2013 oleh kontraktor yang diper­tanggungjawabkan.

Turut hadir dalam kunjun­gan itu ialah isteri Lee, Datin Christina Kong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai.

 

Advertisement