Anda di sini

PKR Sarawak sokong Anwar bertanding PRK DUN Kajang

Advertisement

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menyokong penuh keputusan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Selangor.

Ini kerana jelas Bendahari PKR Sarawak Dr Michael Teo, sekiranya Anwar dipilih, beliau mampu menyelesaikan banyak masalah di Selangor.

“Kami merasakan beliau (Anwar) akan lebih efektif untuk membantu Kerajaan Selangor menyelesaikan semua masalah terutama dalam isu agama.

“PKR Sarawak akan membantu beliau untuk menang pada pilihan raya tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Negeri di sini, semalam.

Menurut Dr Teo, isu agama yang berlaku di Selangor baru-baru ini telah menjadi semakin panas dan membimbangkan.

Justeru, beliau yakin Anwar mampu menangani isu berkenaan jika beliau memenangi PRK tersebut.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How berkata kemasukan Anwar ke Selangor adalah membawa tujuan politik yang penting.

“Saya tidak menafikan bahawa Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) telah melakukan tugas dengan baik sebagai pentadbir tetapi adalah penting bagi kerajaan Pakatan di sana untuk menyelesaikan isu-isu yang telah menjadi kebimbangan rakyat,” katanya.

PRK DUN Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada DAP pada 27 Januari lalu.

Sehari selepas itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh diumumkan sebagai calon bagi PRK berkenaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengumumkan tarikh bagi penamaan calon dan mengundi.

Malah, Barisan Nasional (BN) juga masih belum mengumumkan calon mereka bagi PRK tersebut.

Advertisement