Anda di sini

Pergiat usaha tarik minat remaja terhadap lagu P. Ramlee

Advertisement

KUCHING: Usaha perlu dipergiatkan bagi menarik minat golongan remaja untuk bergiat aktif dalam memartabatkan warisan lagu-lagu Seniman Agung Tan Sri  P. Ramlee.

Timbalan Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak Saiee Driss berkata. sejak penubuhan rasmi kelab berkenaan pada 2013, pihaknya telah berjaya menganjurkan Pertandingan Bintang Kecil P. Ramlee dengan sambutan yang menggalakkan.

Namun katanya, berbeza dengan pertandingan kali ini iaitu Bintang Remaja P. Ramlee, sambutan daripada golongan remaja dilihat kurang memuaskan dan memerlukan idea-idea yang lebih menarik.

“Ini merupakan kali pertama pertandingan Bintang Remaja P. Ramlee diadakan oleh kelab bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam mendendangkan lagu-lagu P. Ramlee.

“Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada projek membina bakat ahli-ahli kelab dan bukan ahli dalam membawa lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh P. Ramlee ketika zaman kegemilangan legenda ini dahulu.

“Malangnya, pertandingan julung kalinya ini kurang mendapat sambutan tetapi sebagai permulaan ia tetap mencapai matlamat penganjuran dan kami akan memperhebatkan lagi pertandingan yang sama pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertandingan Bintang Remaja P. Ramlee anjuran kelab tersebut dengan kerjasama Restoran Seven on Seven di Matang Jaya, dekat sini malam Sabtu lepas.

Turut hadir pengurus Restoran Seven on Seven Datuk Dr Malike Mahli.

Pertandingan tersebut berlangsung dua hari iaitu mulai 31 Januari hingga 1 Februari yang menyaksikan seramai 10 peserta bertanding untuk dinobatkan sebagai Bintang Remaja P. Ramlee.

Peserta terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 18 tahun dan setiap peserta wajib mendendangkan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh P. Ramlee dan Saloma.

Tambah Saiee, kelab berkenaan kini mempunyai seramai 467 ahli terdiri daripada kalangan peminat-peminat P. Ramlee dari seluruh Sarawak di bawah pimpinan Presidennya Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.

Dalam pada itu selain Bintang Kecil P. Ramlee dan Bintang Remaja P. Ramlee kelab itu juga menurut Saiee bakal menganjurkan pertandingan Bintang Kilauan Emas dalam tahun ini juga.

Advertisement