Anda di sini

Penduduk Rumah Gani bimbang tanah runtuh

Advertisement

BINTULU: Penduduk Rumah Gani Lansam melahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan mereka berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan bukit belakang rumah panjang terbabit.

Seorang penghuni rumah panjang berkenaan, Lalai Ligong, 56, berkata kejadian tanah runtuh di belakang rumah panjang mereka yang berlaku dua minggu lalu kini menghantui penduduk rumah panjang terbabit.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil langkah sewajarnya untuk membantu menyelesaikan masalah tanah runtuh itu agar tidak menjejaskan keselamatan  rumah panjang kami,” katanya.

Sambil menyifatkan kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat melanda daerah kecil Sebauh baru-baru ini, Lalai berharap pihak berwajib membantu mereka membuat benteng bukit lebih kukuh bagi mengelak berulangnya kejadian sama.

Sementara Johnnicol Gian, 60, berkata pihak berwajib harus membantu mengukuhkan benteng bukit sedia ada serta memperbesar aliran air di bukit terbabit bagi mengelak berlaku mendapan tanah yang akan mengakibatkan implikasi lebih buruk.

“Sememangnya ada petanda berlakunya runtuhan bukit berikutan serpihan-serpihan tanah dan batu yang jatuh dari bahagian atas bukit.

“Cuma kami tidak menyangka sama sekali keadaan bertambah buruk berikutan hujan lebat melanda Bintulu dua minggu lalu,” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu turut menyebabkan semua penduduk rumah panjang terbabit tidur di bahagian ‘ruai’ (beranda) kerana bimbang berlaku kejadian runtuhan yang lebih serius.

Advertisement