Anda di sini

NGO lapor polis klip video hina PM, k’jaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Empat badan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap seorang wakil rakyat kerana menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta kerajaan.

Laporan dibuat terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang didakwa terbabit dalam pembikinan klip video bertajuk ‘Onederful Malaysia’ sempena Tahun Baharu Cina itu, dimuat turun dan tersebar meluas dalam laman YouTube sejak lima hari lepas.

NGO terbabit adalah Persatuan Aduan Rakyat, Persatuan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK), Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (PERBIT) dan Gabungan NGO Daerah Gombak.

Pengerusi Persatuan Aduan Rakyat yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata laporan itu meminta polis bertindakterhadap pihak yang terbabit dalam mengarah dan menerbit klip video yangdisifatkan boleh menggugat perpaduan kaum.

“Klip yang tersebar luas ini telah mengutuk Perdana Menteri, isterinya dan mengkritik kerajaan. Malahan klip ini mampu mencetuskan masalah perkauman dengan melaga-lagakan kaum di negara ini.

Kami meminta polis menyiasat dengan segera.

“Kami juga berharap Teresa Kok meminta maaf dan menarik balik klip video itu,” katanya selepas membuat laporan polis kira-kira jam 1.30 petang di Balai Polis Gombak semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Impak, Muhammad Naguib Kaharuddin meminta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat secara menyeluruh berhubung klip video terbabit.

Klip video berdurasi 11 minit 39 saat itu memaparkan empat individu termasuk Teresa sedang berbual dan membincangkan pelbagai isu berkaitan kaum dan negara.

Di Putrajaya, sebanyak 17 NGO di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu  menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Kok yang dianggap biadab dan kurang ajar mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengerusi Persatuan Jaringan Kaseh Ixora Putrajaya Zarina Ismail berkata beliau yang mewakili 17 NGO berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Ahli Parlimen Seputeh itu yang mempersendakan kepimpinan negara dan memperlekehkan pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama NGO berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam, katanya dalam sidang media di sini semalam.

“Teresa berani membuat video itu kerana menganggap tiada pihak yang akan mengambil tindakan terhadapnya…perbuatan Teresa itu adalah sangat kurang ajar dan tujuannya hanya untuk kepentingan politik semata-mata dan membawa budaya politik yang tidak matang,” katanya. — Bernama

Advertisement