Anda di sini

Mangsa kedua bot karam di Muara Payang dijumpai penduduk kampung

Advertisement

SARIKEI: Mangsa kedua bot karam di Muara Payang di sini, Anthony Abell Jimmy, 18, dijumpai penduduk kampung pada jam 9.20 malam kelmarin.

Mayat Anthony dijumpai di sekitar kawasan Muara Payang iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Suna Kaha berkata, dengan penemuan tersebut maka operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan sejak hari kejadian (Rabu lalu) dihentikan.

“Sebaik sahaja ditemui, mayat mangsa terus dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa,” katanya.

Mayat Anthony ditemui dalam tempoh 10 jam selepas penemuan mayat rakannya, Freddy Samuel Ali, 14, pada sebelah pagi iaitu jam 11.04 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa lemas setelah bot yang dinaiki bersama dua lagi rakan lain terbalik ketika memancing udang di Muara Payang terletak kira-kira satu kilometer dari Tanah Putih di sini, petang Rabu lalu.

Pada kejadian tersebut, Freddy dan Anthony dikhuatiri lemas manakala rakannya, Edison Jang Ali, 13, dan Leornado David, 14, sempat diselamatkan penduduk kampung berdekatan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila perahu dinaiki empat sahabat terbabit tiba-tiba dipukul gelombang besar.

Advertisement