Anda di sini

Laman Semenanjung M’sia Anti Sabah, S’wak dikutuk

Advertisement

KUCHING: Laman Facebook Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak yang kembali mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini turut menerima kutukan daripada pihak pembangkang Sarawak.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan perkara itu sebagai satu hasutan dan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat segera mengenainya.

“Rakyat Malaysia tidak boleh mengatakan sesuatu seperti ini kerana ia adalah berkaitan dengan negeri.

“Kita boleh anti-BN atau pembangkang kerana ia adalah parti politik dan mempunyai penyokong sendiri tetapi kita tidak boleh mengatakan demikian bagi negeri… ia adalah salah dan melebihi batas undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi PKR Sarawak yang juga ADUN Batu Lintang See Chee How dan Naib Pengerusi Wanita PKR Pusat Voon Shiak Ni.

Justeru, Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa menjelaskan bahawa dalam masyarakat demokratik, sesiapa sahaja berhak untuk menyuarakan pandangan tetapi ia haruslah tidak melebihi batas undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan sedemikian hanya melibatkan sebilangan kecil daripada rakyat Malaysia.

“Kebanyakan rakyat Malaysia adalah waras dan munasabah… ini cuma melibatkan sebilangan kecil ekstremis yang cuba menimbulkan sentimen sebegini.

“Mereka ini mungkin puak pemisah atau mahu menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, amaran juga telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berkata rakyat harus ‘tidak melepasi batasan’ apabila menulis atau posting di media sosial.

Tambah beliau, orang ramai juga tidak seharusnya menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan.

“Anda bebas mengatakan apa yang anda suka, bercakap apa yang anda mahu, semua yang anti pelbagai perkara dalam Facebook, Twitter, blog atau lain-lain media.

“Cuma jangan melepasi garisan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau juga berkata kementeriannya sedar tentang aktiviti tersebut dan sedang memantaunya.

Namun demikian, laman Facebook tersebut kini sudah disekat.

Advertisement