Anda di sini

Kisah Ahmad Ammar jadi contoh kepada ibu bapa mendidik anak

Advertisement

KUCHING: Kisah Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam menjadi contoh kepada masyarakat Islam di negeri ini khasnya golongan ibu bapa sebagai pembimbing dalam mendidik anak mereka.

Program Inspirasi Ammar anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak yang diadakan di seluruh bahagian bertujuan menaikkan jiwa anak muda terhadap Islam selain mencontohi ibu bapa allahyarham sebagai pembimbing dan pendidik.

Malah, ia juga sebagai pemangkin kepada anak-anak muda untuk meneruskan usaha beliau sebagai aktivis kemanusiaan serta menyumbang tenaga untuk menyalurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Kisah Allahyarham Ammar dikongsikan oleh bapanya, Ahmad Azam Abdul Rahman dan ibunya, Nor Azlina Aziz pada program itu yang bertema ‘Nahdah Jiwa Anak Muda’ anjuran ABIM Negeri bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri serta Jabatan Pendidikan Negeri di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, malam kelmarin.

Allahyarham dididik dengan kaedah tersendiri oleh ibu bapanya selain diberi galakan untuk mendalami ilmu sejarah Islam kerajaan Uthmaniyah di sebuah universiti di Turki.

“Terdapat tujuh perkara yang perlu ada dalam diri anak muda yang harus kita (ibu bapa) semai antaranya mendidik anak kita mentaati Allah, mengajar mereka bukan sahaja khatam al-Quran tetapi juga memahami isi kandungnya, menjadikan mereka khalifah Allah dan sentiasa menggalakkan mereka untuk belajar.

“Dan sebagai anak muda pula kita perlu menguasai empat bahasa yang diguna pakai majoriti masyarakat di dunia ini seperti Arab, Mandarin dan English supaya memudahkan kita menyampaikan dakwah Islam dengan berkesan,” katanya.

Allahyarham Ammar seorang pelajar jurusan sejarah di Universiti Marmara, Turki meninggal dunia pada 2 November 2013 kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya di Istanbul, Turki.

Meskipun masih muda, Ammar mengembara ke banyak tempat untuk menuntut ilmu termasuk menjadi sukarelawan dalam menyertai misi kemanusiaan selain aktif dalam dakwah bagi memperjuangkan agama Islam.

Allahyarham dikebumikan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul yang mana terdapat makam sahabat Rasulullah, Abu Ayub Al-Ansari R.A termasuk lebih 60 para sahabat nabi, auliya, panglima Uthmaniyyah dan orang ternama, menjadikan beliau orang Malaysia pertama disemadikan di situ.

Advertisement