Anda di sini

Kerajaan jamin akan jaga kebajikan anak pasangan ditahan di Sweden

Advertisement

RASMI: Rohani (tiga kiri) memerhatikan Karim (empat kiri) memukul gong sebagai tanda rasminya majlis itu. Turut kelihatan Simoi (empat kanan).

SRI AMAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan akan menjaga aspek kebajikan dan kesejahteraan empat anak kepada pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden sebelum ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata lawatan berkala pegawai kebajikan dan sesi kaunseling kepada empat beradik itu akan dijalankan bagi mengurangkan perasaan trauma yang dihadapi mereka sebelum ini.

“Kepulangan Aishah, 14 dan tiga adiknya iaitu Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, ke tanah air kelmarin sudah pasti dapat mengurangkan kerunsingan pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal berhubung soal kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian pada sidang media sebaik sahaja tamat Majlis Perasmian Seminar Masyakarat Melayu Sri Aman yang berlangsung di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bagi mewakili Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan  Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Lebih 200 ahli Persatuan Persaudaraan Melayu (PPM) menghadiri Seminar Masyakarat Melayu Sri Aman yang diadakan  di Dewan Suarah Sri Aman itu.

Sementara itu Rohani turut menambah bahawa pihaknya akan menghantar laporan mingguan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial Sweden melalui Wisma Putra seperti dikehendaki dalam Perkara 3 dan Perkara 20 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Antara perkara yang memudahkan usaha kerajaan membawa balik empat adik-beradik itu ke negara ini adalah kerana Malaysia dan Sweden pernah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 17 Februari 1995,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Rohani memohon taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang masih belum mendaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi langkah pemutihan agar berbuat demikian dengan segera.

Ini kerana langkah terbabit akan membolehkan  JKM memberi bantuan kepada taska bagi memperbaiki kualiti jagaan pihak terbabit.

“Tidak mudah buat kami untuk mengesan  mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi secara tidak sah di negara ini memandangkan kurangnya maklumat yang disalurkan oleh orang ramai terutama ibu bapa kepada kanak-kanak itu.

“Jika pusat jagaan itu berdaftar dengan kami maka pihak terbabit akan dipastikan beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan selain mendapat bantuan latihan asas pertolongan cemas mengikut modul PERMATA,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Abang Shamsuddin Abang Seruji dan Pengerusi PPM Sri Aman Dr Zulwali Kipli.

Advertisement