Anda di sini

Keperibadian Ahmad Ammar inspirasi ABIM suntik semangat kesukarelaan belia

Advertisement

KUCHING: Keperibadian Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam menjadi inspirasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak dalam menyuntik semangat kesukarelaan di kalangan belia muda di negeri ini.

Beliau yang juga bersemangat waja dalam mendalami ilmu sejarah Islam kerajaan Uthmaniyah di salah sebuah universiti di Turki sering kali mengikuti jejak langkah ayahnya ketika mengikuti kerja kemanusiaan di serata tempat.

Menurut ayahnya, Ahmad Azam Abdul Rahman, keperibadian tinggi Ammar seharusnya menjadi ikutan anak muda pada masa kini terutama dalam menegakkan perjuangan Rasulullah SAW.

“Beliau (Ammar) telah kembali ke sisi Ilahi pada umur 20 tahun, iaitu saya sifatkan umur yang masih muda serta mentah.

“Namun, peribadinya yang sering kali membanggakan saya terutama dalam mengikuti kerja kemanusiaan selain bersemangat dalam mengkaji sejarah Islam Uthmaniyyah, menjadikannya seorang ikon serta model yang harus dicontohi anak muda pada masa sekarang,” katanya.

Meskipun agak terkejut ketika mendengar berita kematian anaknya, Ahmad Azam berkata, namun kini dia meredai pemergian anaknya yang disifatkan sebagai mesej daripada Allah SWT kepada anak-anak muda.

Selain itu katanya, Ammar merupakan seorang anak yang baik serta taat kepada kedua-dua orang tua serta Allah SWT.

“Allahyarham meninggal dunia dalam satu kemalangan, dan bagi saya, pemergiannya merupakan suatu petanda daripada Allah SWT kepada anak-anak muda belia agar bangkit untuk menjadi khalifah Allah serta menyambung perjuangan Rasulullah SAW.

“Pada masa sama, generasi muda inilah yang perlu mengubah persepsi masa kini dengan kebanjiran idola serta kemarau teladan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada program Inspirasi Ammar bertema ‘Nahdah Jiwa Anak Muda’ anjuran ABIM Negeri bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri, di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, kelmarin.

Advertisement