Anda di sini

Kecantikan alam semula jadi tarikan utama S’wak

Advertisement

KUCHING: Kecantikan alam semula jadi Sarawak serta kestabilan politik dan keharmonian kaum menjadi tarikan utama pelancong berkunjung ke negeri ini.

Malah, suasana yang selamat menjamin kebebasan pelancong untuk bersiar di tempat-tempat menarik yang ditawarkan di negeri ini tanpa berasa diancam.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya Kuching semalam mendapati kebanyakan pelancong dari dalam dan luar negara bebas untuk berkunjung ke tempat menarik yang diinginkan.

Menurut Tom Knight, 31, dari London dia berkunjung ke sini bersama isterinya Karolina Borkowska, 27, dari Poland selepas mendengar ulasan rakan-rakan yang pernah bercuti di sini.

“Saya mengetahui sedikit sebanyak mengenai Sarawak melalui rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sini.

“Sebelum saya dan isteri membuat keputusan untuk datang bercuti ke Sarawak, kami juga telah membuat kajian mengenai Sarawak dan keindahan alam semula jadi yang ada di sini menjadi faktor utama membuatkan kami ke mari,” katanya ketika ditemui di Tebingan Kuching, semalam.

Selain bandar raya Kuching, Knight juga akan menghabiskan percutiannya dengan melawat Taman Negara Bako untuk melihat spesies-spesies hutan yang ada di sana.

Manakala bagi Paul Allard, 66, dari Jerman pula, dia dan isterinya mula terpegun dengan kecantikan panorama Sarawak ketika mengunjunginya pada 2008 dan berhasrat untuk kembali lagi ke sini pada tahun ini.

“Kami pernah melancong ke Sarawak pada 2008 yang lalu dan setelah kembali ke negara asal, kami menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke sini pada tahun ini dan akhirnya hasrat kami telah tercapai.

“Sarawak mempunyai tarikan alam yang boleh membuatkan peneroka alam seperti kami menjadi gila kerana keindahannya begitu luas untuk dilupakan,” katanya.

Pada masa sama, Paul berkata dia turut mengagumi kebersihan bandar raya ini yang disifatkan sentiasa terpelihara oleh pihak berkuasa tempatan.

Lain pula pendapat Mark Jezzel Olive, 33 dari Alaska, dia menyifatkan keramahan masyarakat berbilang kaum di sini mencantikkan lagi peribadi bandar raya Kuching sebagai destinasi tumpuan pelancong.

“Saya menyukai keramahan orang Sarawak yang tidak segan menyapa saya mahupun mengajak saya berbual.

“Ia menjadi faktor utama kedatangan saya ke sini iaitu ingin mengenali masyarakat Sarawak dengan lebih dekat,” katanya.

Advertisement