Anda di sini

Beri latihan, kursus berterusan kepada guru BI

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyarankan Kementerian Pendidikan agar memberi latihan serta kursus yang berterusan kepada guru Bahasa Inggeris (BI) sesuai dengan perubahan masa dan zaman.

Presidennya Jisin Nyud berkata ia merupakan langkah jangka panjang bagi mengatasi masalah ketidakcekapan guru BI tempatan mengajar mata pelajaran itu.

Menurutnya kursus yang diberikan kepada guru semasa di institut perguruan sahaja tidak memadai sebaliknya sentiasa menambah baik pedagogi serta metodologi pengajaran dan pembelajaran BI.

“Negara tidak boleh terus bergantung kepada tenaga pengajar asing untuk mengajar BI kerana ia hanyalah penyelesaian jangka pendek atau lebih tepat mereka ini hanya berperanan sebagai mentor serta fasilitator kepada guru-guru tempatan.

“STU sememangnya menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dan berharap ia berjaya memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran guru-guru tempatan ,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai Program Bantuan Pengajaran BI Fullbright yang dilaksanakan di Sarawak dengan melibatkan 10 graduan dari Amerika Syarikat ditempatkan di beberapa sekolah menengah khususnya di luar bandar.

Jisin menambah, secara umumnya ketika ini Sarawak masih berdepan masalah kekurangan guru BI.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Datu Abdillah Adam semasa pelancarannya baru-baru ini, berkata ia adalah program berprofil tinggi melibatkan dua pemimpin dari dua negara iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat.

“Ia merupakan satu kerjasama antara kerajaan dalam usaha menyokong dasar kebangsaan Malaysia untuk menegakkan bahasa Malaysia dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

“Seperti dimaktubkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2015, ia adalah aspirasi kerajaan bagi setiap kanak-kanak untuk fasih dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa lain dan program ETA mesti diberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Advertisement