Anda di sini

Setiap perayaan diraikan sebagai landasan gagasan 1M’sia: Harden

Advertisement

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis mahu setiap perayaan diraikan sebagai landasan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Menurut beliau, adalah wajar setiap perayaan dijadikan sebagai perayaan bersama.

“Adalah menjadi budaya masyarakat kita pada setiap perayaan, kita melakukan kunjung-mengunjungi tanpa mengira kaum dan agama bagi melambangkan kita bersama dalam 1Malaysia,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pemimpin masyarakat Cina di sini kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, budaya kunjung-mengunjungi adalah budaya unik yang harus diteruskan untuk menjamin perpaduan kaum.

“Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar yang amat baik dan bersikap adil dalam dasar dan rancangan pembangunannya.

“Penyertaan jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan menyumbangkan tenaga dan kemahiran dalam mengelolakan aktiviti perpaduan untuk mengekalkan perpaduan di negara ini amatlah dihargai,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Sawing Sumar, Penghulu Michael John Sanggop, isteri Francis Datin Simba Nallang serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Advertisement