Anda di sini

RISDA Betong raih kejuaraan berganda

Advertisement

KUCHING: Kontinjen RIS­DA Betong meraih kejuaraan berganda apabila muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Peringkat Negeri Sarawak 2014 edisi kedua di Dewan Kompleks Belia Dan Sukan di sini kel­marin.

Dengan kejuaraan tersebut, RISDA Betong membuktikan pasukan mereka gah apabila menjadi juara keseluruhan untuk dua kali berturut-turut sejak pertama kali diadakan pada tahun lalu.

RISDA Betong diletakkan sebagai kontinjen pilihan untuk merangkul kejuaraan keseluruhan tidak meng­hadapi masalah membolot tujuh daripada 13 acara yang dipertandingkan.

Ketua Kontinjen RISDA Betong, Hardenan Golong berkata persediaan dan lati­han rapi dalam apa-apa acara sukan dipertandingkan te­lah membolehkan mereka memperolehi kejayaan demi kejayaan.

Katanya, kejayaan itu merupakan hasil semangat berpasukan yang baik selain strategi diterapkan berjaya diterjemah sehingga pasukan berjaya muncul juara keselu­ruhan.

“Ini kejayaan terbaik kon­tinjen RISDA Betong apabila berjaya mengekalkan kejuar­aan kali ini dan adalah hasil kerja keras semua pemain dan pegawai pasukan.

“Saya gembira kerana kon­tinjen kami berjaya muncul juara keseluruhan dan saya kerahkan pemain-pemain yang terpilih untuk berusaha lebih gigih menjalani latihan,” katanya.

Hardenan menjelaskan, pemain-pemain yang terpilih akan berentap dan beraksi pada Pesta Sukan Kebangsaan RISDA ke-16 di Kelantan, Jun depan.

Hardenan berharap RISDA Betong dapat mempertahan kejuaraan kali ketiga pada Ke­johanan Sukan RISDA Negeri Sarawak pada 2016 nanti.

Sementara itu, kejohanan edisi kedua itu mendapat sera­mai 300 penyertaan pemain dan sebanyak lima kontinjen iaitu RISDA Negeri Sarawak selaku tuan rumah, RISDA Samarahan, RISDA Betong, RISDA Sibu dan RISDA Miri.

Hadiah kemenangan dis­ampaikan oleh Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Wa­hid Marican Muhamad Daud Merican.

Advertisement