Anda di sini

Rakyat dinasihati agar singkirkan sikap perkauman

Advertisement

ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau menasihati rakyat pelbagai  kaum di negeri ini agar menyingkir sikap perkauman.

Menurutnya, sikap seperti itu hanya melebarkan jurang perpaduan antara penduduk berbilang kaum dan seterusnya mengganggu kestabilan politik negeri.

Berikutan itu katanya, gagasan 1Malaysia diperkenalkan demi membolehkan semua kaum bernaung di bawah satu bangsa Malaysia yakni memperkukuh hubungan perpaduan antara rakyat di negeri ini.

“Perpaduan di bawah 1Malaysia mewujudkan landasan politik stabil demi memajukan  negara khasnya Sarawak pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui semasa berkunjung kediaman Kaunselor Sing Kuang Hang sempena Tahun Baharu Cina, semalam.

Hang yang merupakan anak jati Engkilili adalah seorang ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS)  yang baharu dilantik menjadi kaunselor Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA).

Turut hadir dalam kunjungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Selain itu, beliau juga mahu penduduk sedar bahawa keamanan yang dikecapi oleh mereka pada masa sekarang adalah disebabkan kebijaksanaan para pemimpin dalam menyatupadukan mereka.

“Saya berharap lebih banyak persatuan turun padang untuk menjayakan pelaksanaan program perpaduan oleh pihak kerajaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Advertisement