Anda di sini

Perkahwinan pasangan dari sempadan cetus pelbagai isu terutama status anak

Advertisement

KUCHING: Perkahwinan melibatkan pasangan dari sempadan negara seperti di Sabah, Sarawak dan negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Perlis telah mencetuskan pelbagai isu terutama yang melibatkan status anak pasangan itu.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, isu membabitkan kanak-kanak akan timbul apabila mereka dewasa di mana mereka menghadapi pelbagai kerenah walaupun dilahirkan di Malaysia.

“Kementerian pula terpaksa mengikut garis panduan sebelum memberikan mana-mana individu kewarganegaraan Malaysia kerana mereka perlu mengenal pasti kesahihan permohonan itu di setiap butiran kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada Hilda Chan dan bantuan daripada Sarawak Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) kepada pesakit kronik di Pusat Khidmat Parlimen Santubong di sini pada Khamis lepas.

Tambah Ahli Parlimen Santubong itu, ada antara permohonan mengambil masa 14 tahun dan kementerian selain itu perlu meneliti beribu permohonan setiap hari.

“Sebahagian daripada perkahwinan tidak didaftarkan secara sah di Malaysia dan ini membawa kepada masalah seperti kanak-kanak tidak berstatus.

“Itu sebabnya mengapa orang ramai perlu memahami bahawa prosedur ini tidak mudah,” katanya.

Sementara itu, Hilda Chan, 50, ketika ditemui berkata penyerahan sijil warganegara Malaysia kepadanya pada ambang sambutan Tahun Baharu Cina itu merupakan hadiah terbaik sempena tahun baharu.

“Saya telah memohon sejak 1976 dan saya gembira ia akhirnya dapat selesai,” katanya.

Chan yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini dilahirkan di Brunei tetapi tinggal di Kuching beberapa bulan selepas dia dilahirkan.

Dia menghadapi pelbagai isu seperti permohonan permit kerja sebelum mendapat status penduduk tetapnya.

Isteri Wan Junaidi, Datin Feona Junaidi yang berada di majlis turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Siti Jasmina Bohri, yang anaknya Norienatasy Mohamad Faizal menderita penyakit jantung, Lai Tsung Shin juga mengalami sakit jantung, Roziyana Abdullah yang anaknya, Hariz Othman yang meninggal dunia akibat kanser otak dan Ba’ah Ramli yang mengalami kanser paru-paru.

Feona turut menyampaikan RM2,000 kepada Abdul Hamid Hassan yang menderita akibat diabetes.

Advertisement