Anda di sini

Perayaan pasti tidak meriah tanpa perpaduan

Advertisement

KUCHING: Perpaduan di kalangan rakyat amat penting kerana tanpa perpaduan sesuatu sambutan perayaan termasuk Tahun Baharu Cina tidak dapat diraikan dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan KKB Engineering Sdn Bhd Datuk Kho Kak Beng, perpaduan kaum menjadi teras utama dalam memastikan keamanan negara sentiasa berkekalan.

“Seperti yang dapat kita lihat pada hari ini, tetamu yang hadir ke sini tidak mengira bangsa, agama mahupun warna kulit.

“Dari situ saya dapat simpulkan, Malaysia dan Sarawak khususnya mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dari pelbagai kaum yang ada di sini.

“Walaupun hari ini merupakan sambutan perayaan masyarakat Cina, pelbagai masyarakat lain turut memeriahkannya dengan melawat rumah sahabat handai mahupun saudara-mara yang meraikannya,” katanya.

Selain itu katanya, amalan mengunjung rumah terbuka ketika sambutan perayaan seumpama itu turut membuka peluang kepada orang ramai untuk membina hubungan perniagaan.

“Tahun ini disifatkan sebagai Tahun Kuda, tahun untuk kita bekerja keras selain berlari pantas seperti kuda dalam mengejar cita-cita mahupun berjaya dalam perniagaan.

“Selain mendapat kekayaan, kita juga tinggal dalam perpaduan dan keamanan di samping rakan-rakan mahupun keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Three Hills Park di sini, kelmarin.

Rumah terbuka Kho turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri serta Menteri Muda Pelaburan dan Promosi Julaihi Narawi dan isteri.

Terdahulu, Taib mengunjungi rumah terbuka bekas Ketua Peguam Negeri Datuk JC Fong di Jalan Bampfylde, di sini.

Advertisement