Anda di sini

Pelan penyatuan nasional hanya permainan pembangkang untuk kaburi kelemahan mereka

Advertisement

KUCHING: Pelan penyatuan nasional di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Barisan Nasional (BN) hanyalah permainan parti pembangkang untuk mengaburi kelemahan mereka.

Demikian kata pemimpin parti komponen BN Negeri yang menggelarkan dirinya sebagai Bon Fire dengan menyifatkan ia helah pemimpin pembangkang kerana sudah tahu, rakyat tidak mempedulikan mereka dan pembohongan mereka turut diketahui.

“Lihat sahaja mereka mempersendakan politik negara yang bakal meruntuhkan demokrasi dan perpaduan negara baru-baru ini.

“Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Pilihan Raya Kecil akan datang.

“Kerusi DUN Kajang itu kosong selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding, itu seperti mensandiwarakan politik negara ini,” kata Bon Fire.

Ahli Bon Fire sebelum itu ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediaman keluarga Presiden Persekutuan Persatuan Komuniti Cina Kuching Datuk Sim Swee Yong pada hari pertama perayaan itu kelmarin.

Menurut pihaknya, ia bukan trend yang baik serta menyifatkan tindakan PKR sesuka hati mencalonkan ADUN mereka yang asalnya bukan dari tempat di mana mereka berkhidmat sekarang adalah juga salah.

Katanya menambah, misal kata di Sarawak mestilah diwakili oleh orang dari Sarawak yang memang merupakan anak tempatan serta parti-parti yang berasal dari Sarawak untuk menjadi peneraju kepada kepimpinan negeri ini.

Walaupun perkara itu kini berlaku di Selangor, pihak Bon Fire gusar ia akan diulangi dan terjadi di Sarawak.

Tegasnya, tindakan parti politik itu seolah-olah menjadikan politik sebagai mainan dan sandiwara daripada menjadi parti politik sebenar untuk rakyatnya di sini.

Rakyat katanya, akan memilih orang Kajang walaupun sekarang Kajang sudah menjadi milik PKR tetapi jangan pula Anwar memperbodohkan keadaan ini dengan menyuruh ADUN mereka meletak jawatan dan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan menggunakan wang rakyat.

Ia kos yang banyak semata-mata untuk menyelesaikan kes dalam parti politik itu tanpa mempedulikan wang rakyat yang digunakan mereka untuk mengendalikan PRK itu nanti, tegasnya.

Advertisement