Anda di sini

Nyaris rentung, rumah ranap

Advertisement

MUSNAH: Keadaan deretan rumah sewa yang ranap selepas kebakaran tersebut semalam.

KUCHING: Gara-gara la­par, seorang wanita warga emas nyaris rentung apabila dapur gasnya meletup aki­bat kebocoran pada hos sil­inder yang mengakibatkan sederet rumah sewa pekerja di Jalan Sungai Apong, di sini terbakar.

Mangsa, Retut Kawing,70-an, bagaimanapun sempat menyelamatkan dirinya den­gan bantuan daripada be­berapa penduduk setempat yang segera mendapatkan mangsa sebaik sahaja api mula merebak.

Retut semasa ditemui pemberita memberitahu bahawa insiden berlaku ketika dia baharu sahaja ingin memasak sayur untuk hidangan tengah harinya apabila api tiba-tiba marak dari dapur gasnya.

“Saya sangat lapar, saya baharu habis masak nasi dan ingin masak sayur, tapi tidak tahu kenapa tiba-tiba api kuat dan terus merebak dan membakar meja serta dinding dapur menyebabkan saya tidak dapat memadam­kannya.

“Asap dalam dapur semakin tebal menyebabkan saya sukar untuk mencari jalan keluar tetapi nasib baik ada orang tolong saya dan saya berjaya keluar dari dalam rumah sebe­lum api semakin marak,”kata Retut yang trauma dengan insiden tersebut.

TRAUMA:Retut (duduk kanan)ditenangkan oleh ahli keluarganya yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mengetahui mengenai insiden tersebut.

Difahamkan, Retut yang berasal dari Serian itu tinggal bersama anak dan menan­tunya namun dia seorang diri semasa insiden tersebut berlaku.

“Anak dan menantu saya balik kampung kerana perlu menghadiri majlis perkahwinan saudara kami di sana.

“Saya tidak mahu ikut kerana berasa tidak berapa sihat,”katanya.

Sementara itu, tujuh lagi keluarga turut tinggal sehelai sepinggang ekoran insiden tersebut.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan, sebab semasa kejadian semua kami tidak berada di rumah kerana mas­ing-masing bekerja dan ada yang berkunjung ke rumah rakan-rakan sempena Tahun Baharu Cina,”kata seorang daripada penghuni rumah sewa tersebut.

Sepasukan anggota dari­pada Balai Bomba Tabuan Jaya dan Padungan dike­jarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan berhubung kebaka­ran tersebut.

“Kami terima laporan pada jam 12.19 tengah hari, api berjaya dikawal pada jam 12.43 dan operasi tamat pada jam 1.50 petang.

“Kebakaran melibatkan struktur rumah tidak kekal iaitu enam pintu terbakar sepenuhnya manakala dua pintu terbakar sehingga 80 peratus dan tiada kemalan­gan jiwa dilaporkan,”kata Komander Operasi Tawang Lingem.

Advertisement