Anda di sini

Mayat remaja mangsa bot karam dijumpai

Advertisement

DIJUMPAI: Mayat Freddy dibawa oleh pasukan penyelamat ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya semalam.

SARIKEI: Mayat mangsa bot karam di Muara Payang di sini Rabu lalu, Freddy Samuel Ali, 14, dijumpai pasukan operasi mencari dan menyelamat, pagi se­malam.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjumpai mayat mangsa sekitar jam 11.04 pagi lebih kurang tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian tersebut, dua remaja dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki bersama dua lagi yang lain terbalik ketika memanc­ing udang di Muara Payang kira-kira satu kilometer dari Tanah Putih di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, Freddy dan Anthony Abell Jimmy, 18, dikhuatiri lemas manakala rakannya, Edison Jang Ali, 13 dan Leornado David, 14, sempat diselamatkan penduduk kam­pung berdekatan.

Kejadian dipercayai ber­laku apabila perahu dinaiki empat sahabat yang sedang memancing udang tiba-tiba dipukul gelombang.

Saksi kejadian, Victor Ngambang, 23, berkata se­belum kejadian dia bersama beberapa penduduk berehat di tebing sungai berkenaan sebelum melihat kelibat em­pat sahabat itu berkayuh menyusuri sungai menaiki perahu.

“Secara tiba-tiba saya me­lihat perahu yang dinaiki mereka terbalik dan semua mangsa di dalam sungai dan terkapai-kapai sambil men­jerit minta pertolongan.

“Saya kemudiannya minta pertolongan sebelum orang ramai berada tidak jauh dari lokasi kejadian bergegas menghulur bantuan kepada mereka.

“Tetapi malangnya, hanya dua berjaya diselamatkan manakala dua lagi terus tenggelam,” katanya ketika ditemui di pangkalan Tanah Putih di sini pada hari ke­jadian.

Dalam pada itu, mangsa terselamat bagaimanapun enggan ditemu bual beriku­tan trauma dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sarikei Suna Kaha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.22 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, seramai enam anggota bomba ke lokasi kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dilaporkan hilang.

“Kami turut mendapat bantuan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), polis dan penduduk kampung un­tuk mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, operasi diter­uskan pada keesokan hari (Ahad) sekiranya mangsa kedua, Anthony masih belum ditemui.

Kejadian ini merupakan kes ketiga selepas tragedi bot karam di Muara Lassa dan Sungai Sian minggu lalu.

Hingga jam 4 petang se­malam, mangsa (Anthony) masih belum ditemui mana­kala mayat Freddy dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement